Pendapat

Ayuh bangkit rakyat Pahang bantah pencerobohan, ‘gegarkan’ pemerintah

Jika rakyat senyap, pemerintah hatta pembangkang pun takkan kisah

SELEPAS siri-siri pencerobohan tanah kerajaan dan hutan simpan, kini timbul pula kes curi balak pula di Pahang.

Semua ini saya kira semua ini adalah sama sahaja, iaitu isu ketirisan melibatkan hasil kekayaan negeri yang dicuri di mana akhirnya akan merugikan peribumi juga.

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang berkata, terdapat sebanyak 93 kes mencuri balak dan kayu secara haram semenjak bulan Mac tahun ini. Pastinya ini menyebabkan kerajaan negeri Pahang rugi jutaan ringgit dan ianya mengalir ke ‘poket-poket’ mereka yang akhirnya memperkasakan lagi kegiatan-kegiatan haram sebegini.

Bayangkan, rakyat terpaksa duduk berkurung di rumah sepanjang PKP. Ada yang hilang pekerjaan, ada yang tidak boleh keluar berniaga dan ada juga yang hilang punca pendapatan. Tetapi pada masa yang sama ada pula yang menjarah hasil secara haram dan untung jutaan ringgit.

Jika kerajaan negeri masih lagi ambil ringan akan isu-isu pencerobohan tanah, hutan dan kegiatan mengaut hasil secara haram sebegini, pastinya rakyat akan rasa tersinggung dan marah. Mana tidaknya. Tanah hilang, hasil hilang, negeri rugi dan akhirnya rakyat negeri Pahang hanya melopong sahaja. Tetapi mereka senang-senang sahaja kaut hasil secara haram.

Seperti yang saya katakan dahulu, apa yang berlaku di negeri Pahang ini hanyalah satu gambaran yang sebenarnya berlaku di tempat-tempat lain juga cuma mungkin tidak didedahkan sahaja tetapi lambat laun akan terlondeh juga.

Ayuhlah rakyat Pahang, bangkit dengan komuniti-komuniti setempat, persatuan-persatuan dan NGO-NGO membuat bantahan. Mereka yang memegang kuasa tidak akan bertindak jika suara rakyat tidak ‘bergegar’. Contohnya, ICERD dahulu; jika rakyat senyap, maka pemerintah hatta ahli politik pembangkang pun tidak akan ambil kisah.

Haji Aminuddin Yahaya
Presiden ISMA / Pengerusi PEMBELA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button