Berita Utama

3 lagi suspek ditahan kes samun, bunuh bekas Pengarah MARDI

Ketua Polis Kuala Lumpur dijangka adakan sidang media petang ini

KUALA LUMPUR, 14 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Tiga lagi suspek kes samun dan bunuh Dr Wan Hassan Wan Embong ditahan, di sebuah hotel residensi, di Jalan Anjung Putra, Off Jalan Sultan Ismail, di sini, petang semalam.

Kesemua suspek ditahan bersama tujuh lagi lelaki lain dipercayai kenalan mereka di residensi berkenaan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan Wangsa Maju.

Menurut sumber, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembabitan tujuh lagi lelaki berkenaan.

“Pihak polis turut menemui kereta digunakan semasa kejadian samun berkenaan yang diletakkan suspek di stesen minyak di Taman Melati, di sini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Tiga suspek utama terbabit dilaporkan memecah masuk kediaman Wan Hassan di Bukit Bandaraya, Bangsar di sini, sekitar jam 3.30 pagi hingga berlaku pergelutan dan menyebabkan bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu maut.

Suspek sama kemudian memecah masuk sebuah kediaman banglo tiga tingkat didiami lebih 10 mangsa di Taman Tasik Titiwangsa di sini, pada jam 5.30 pagi.

Di lokasi kejadian samun kedua itu, suspek dipercayai membuang dompet milik Wan Hassan ketika melarikan diri selepas menyamun kediaman kedua.

Berdasarkan maklumat dan siasatan, suspek kemudian diberkas di residensi di Jalan Anjung Putra pada jam 4 petang, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin dijangka akan mengadakan sidang media berhubung penangkapan suspek kes ini pada jam 3 petang ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button