Berita Utama

Aktiviti ekonomi luar kawasan PKPD dibenarkan

Namun tertakluk kepada SOP ditetapkan oleh pihak KKM

KUALA LUMPUR, 14 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Aktiviti ekonomi di kawasan yang tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah dibenarkan namun tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selain SOP ketat, premis perniagaan termasuk pasar malam dan pasar harian perlu dipantau anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi memastikan pengunjung merekodkan butiran serta suhu badan mereka.

“Setakat ini, aktiviti ekonomi termasuk pasar boleh beroperasi dengan syarat ada RELA. Sebarang keputusan penutupan adalah tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan arahan penutupan pasar malam di Meru, Klang yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) baru-baru ini.

Memperincikan perkara itu, Ismail Sabri berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan penutupan tersebut memandangkan PKPD hanya dilaksanakan di kawasan asrama pekerja syarikat sarung tangan Top Glove di Klang.

“PKPD hanya dikenakan di kawasan asrama lelaki dan wanita serta deretan perumahan yang disewa untuk diduduki pekerja syarikat itu. Kawasan lain tidak diisytiharkan sebagai kawasan PKPD,” katanya.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata beliau akan membincangkan perkara itu dengan Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan kepastian berhubung dakwaan tersebut.

Mengulas pengumuman sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri ditamat atau diteruskan, beliau memberi jaminan akan mengumumkan perkara itu Jumaat ini berdasarkan kepada penilaian risiko jangkitan COVID-19.

“Biasanya, beberapa hari sebelum tamat tempoh PKPB, KKM akan menasihatkan mesyuarat khas MKN dan saya akan umum Jumaat ini selepas mesyuarat itu,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa PKPB selama empat minggu bermula 9 November hingga 6 Disember di seluruh negara kecuali Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak.

Bagaimanapun, PKPB di Johor, Melaka, Kedah dan Terengganu ditamatkan lebih awal iaitu pada 21 November lepas setelah terdapat trend penurunan kes positif COVID-19 serta keadaan didapati terkawal. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button