Berita Utama

Apa motif DAP mahu mansuh Akta Hasutan 1948?

Kesalahan menghasut catat peningkatan sejak 2 tahun kebelakangan

BANGI, 14 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Kesungguhan parti tamak haloba DAP untuk memastikan kerajaan memansuhkan Akta Hasutan 1948 menimbulkan tanda tanya, kata penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

Pada hari ini sahaja, dua Ahli Parlimen daripada parti itu bertanya mengenai status pemansuhan Akta Hasutan 1948 di Parlimen.

Katanya, satu adalah soalan daripada Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah status pemansuhan Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain itu, Kasthuri turut meminta maklumat mengenai bilangan kes dalam siasatan, dakwaan dan sabitan serta usaha untuk menggantikan akta-akta berkenaan dengan undang-undang yang lebih saksama dan progresif.

Selain Kasthuri, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh turut mengajukan soalan mengenai akta sama.

Ramkarpal meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sama ada kerajaan akan memansuhkan atau meminda Akta Hasutan 1948 dan sekiranya tidak, sama ada akta tersebut akan dipinda untuk sekurang-kurangnya mengiktirafkan niat (intention) tertuduh sebagai satu pembelaan.

Mengulas perkara itu, Dr Kamarul mempersoalkan mengenai tujuan Ahli-Ahli Parlimen DAP yang dilihat bersungguh-sungguh mahu memansuhkan Akta Hasutan 1948.

“DAP sebelum ini dakwa mereka hormat kepada bahasa kebangsaan (Perkara 152), kedudukan istimewa orang Melayu (Perkara 153) dan kedaulatan Raja-Raja Melayu (Perkara 181).

“Jika benar mereka hormat kepada perkara-perkara ini sepatutnya kekalkanlah Akta Hasutan 1948 kerana melalui Akta Hasutan 1948 perkara-perkara ini dilindungi daripada dipersoalkan.

“Atau ini ada kaitannya dengan 70 laporan polis yang dibuat ke atas Persatuan New Youth Universiti Malaya (UMANY) baru-baru ini, atas dakwaan mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Januari lalu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumumkan akan meneruskan kajian untuk meminda beberapa akta di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk Akta Hasutan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).

Namun, pada Julai, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan, kerajaan tidak akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 selepas mengambil kira struktur masyarakat terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa di negara ini.

Katanya, tindakan memansuhkan akta itu dikhuatiri boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam susulan tindakan mana-mana pihak menyebarkan maklumat atau berita berunsur hasutan melalui media sosial secara tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan statistik, terdapat trend peningkatan kes dua tahun kebelakangan ini yang melibatkan kesalahan menghasut terhadap institusi diraja, kaum, agama dan hak, taraf, kedudukan, keistimewaan atau hak kedaulatan yang dilindungi oleh Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button