Berita Utama

Keadaan banjir di beberapa negeri beransur pulih

Jumlah mangsa di Pusat Pemindahan Sementara makin berkurangan

KUALA LUMPUR, 14 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Keadaan banjir yang melanda beberapa negeri beransur pulih pagi ini dengan jumlah mangsa yang ditempatkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semakin berkurangan.

Di TERENGGANU, hanya satu PPS iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang, Marang masih beroperasi, menempatkan lapan orang daripada tiga keluarga setakat 8 pagi ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata banjir di Kemaman pulih sepenuhnya apabila satu PPS terakhir ditutup secara rasmi 6 petang semalam.

“Jabatan Pengairan dan Saliran juga memaklumkan semua sungai di Terengganu berada pada paras normal. Cuaca juga diramal baik sepanjang hari berikutan tamatnya amaran cuaca waspada oleh Jabatan Meteorologi,” katanya.

Di KEDAH, hanya satu PPS yang masih beroperasi setakat pagi ini iaitu di Masjid Sungai Seluang di Mukim Seluang, Kulim.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata PPS yang dibuka sejak Sabtu itu masih menempatkan 105 mangsa dari 32 keluarga.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 16 orang setakat 8 pagi ini berbanding 17 orang petang semalam dengan satu PPS masih aktif iaitu PPS Sekolah Kebangsaan Parit Gantong di daerah Jasin, kata Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Melaka Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali.

“Tiga keluarga dari kawasan terjejas iaitu Kampung Tasek, Kampung Tersusu dan Kampung Parit Penghulu di Jasin ditempatkan di PPS berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri itu berkata cuaca dilaporkan hujan di beberapa kawasan pada sebelah pagi ini dan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di Pasir Mas yang ditempatkan di sebuah PPS kekal dengan 22 mangsa daripada lima keluarga setakat 8 pagi.

Sementara itu, mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat 8 pagi ini, bacaan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas melepasi paras bahaya dengan bacaan 9.43 meter (m), namun didapati mula menunjukkan trend penurunan.

Di PERAK, seramai 110 mangsa banjir daripada 33 keluarga ditempatkan di tiga PPS di tiga daerah, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan hari ini.

Bagi daerah Hilir Perak, seramai 46 mangsa berada di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan berikutan rumah mereka masih dinaiki air banjir, dengan mangsa merupakan penduduk dari beberapa kampung di Changkat Jong, Teluk Intan iaitu Kampung Glouster Batu 6, Lorong Sidang Osman, Batu 7 ½, Lorong Mesra di Batu 7, Kampung Baru dan Lorong Kedah di Batu 8 serta Batu 9.

Katanya, hujan lebat semalam mengakibatkan banjir kilat di Kuala Kangsar dan 54 mangsa dari Kampung Tok Sirat dipindahkan ke PPS di Dewan Orang Ramai kampung itu, sejak semalam.

Selain itu, di Perak Tengah, sebuah PPS yang dibuka sejak pukul 3 petang semalam di Sekolah Kebangsaan Titi Gantung menempatkan 10 mangsa banjir dari Kampung Parit 13 dan Kampung Parit 14 di Bota, Seri Iskandar. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button