Berita Utama

Kenapa lama sangat UM selesaikan isu UMANY?

Persatuan itu berpotensi ulangi tindakan jika tak dibubarkan

BANGI, 14 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Kes membabitkan kenyataan berbaur hasutan yang dibuat oleh Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (UMANY) mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sudah berlanjutan selama sebulan.

Namun, sehingga hari ini masih lagi tiada tindakan atau perkembangan semasa hasil kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak Universiti Malaya (UM).

Walhal, sudah banyak laporan polis telah pun dibuat dan pihak pengurusan UM juga telah mengeluarkan satu kenyataan untuk melakukan siasatan pada 1 November lepas, tegas Kelab Mahasiswa BERJASA (WIBAWA).

“Mengapa isu mudah mengambil masa yang sangat lama untuk pengurusan UM selesaikan? 

“Adakah sekadar permohonan maaf dan mereka telah terlepas daripada tindakan disiplin seperti tiada apa-apa yang berlaku?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

1 November lalu, UM berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung hantaran di Facebook bertajuk ‘Yang Dipertuan Agong Tidak Sepatutnya Campur Tangan Dalam Hal Ehwal Negara’ yang dimuat naik oleh UMANY.

UM berkata, siasatan lanjut akan dijalankan dengan segera dan pengumuman berkaitan isu berkenaan akan dimuat dari semasa ke semasa.

Sementara itu, WIBAWA berkata, persatuan ‘tercemar’ itu masih berpotensi untuk mengulangi tindakan berunsur fitnah dan hasutan jika tidak dibubarkan oleh UM.

“Jadi, persoalan WIBAWA kepada pihak pengurusan UM, apa khabar siasatan tersebut?

“Yang menanti khabar, WIBAWA,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button