Berita Utama

Malaysia dihambat isu penuaan, perlu perhatian serius kerajaan

Jangka hayat rakyat di negara ini secara purata 75.93 peratus

BANGI, 14 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Kerajaan perlu memberi perhatian lebih serius dalam isu penuaan penduduk di samping menangani penularan pandemik COVID-19 ketika ini, saran Dr Lai Wei Sieng.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pembangunan Lestari dan Inklusif, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, penuaan penduduk memberi tekanan kepada program insurans sosial dan sistem pencen seperti skim pencen perkhidmatan awam, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Skim Persaraan Swasta (SPS).

Oleh itu, beliau berkata, kerajaan perlu meningkatkan peruntukan untuk keselamatan sosial memandangkan jumlah penduduk yang semakin tua.

“Semakin ramai penduduk tua dan bersara, sumbangan kepada dana keselamatan sosial semakin berkurangan, tetapi dana disalurkan kepada populasi tua semakin meningkat,” katanya menulis di Berita Harian, hari ini.

Mengulas perkara sama, Dr Wei Sieng menyarankan kerajaan menggunakan lebih banyak dana dan sumber manusia untuk menyediakan rawatan kesihatan serta memenuhi keperluan penduduk lain.

Perkara itu penting berikutan katanya, kos penjagaan kesihatan yang meningkat disebabkan usia penduduk meningkat.

Secara amnya, beliau berkata, apabila tahap kesihatan penduduk menurun maka lebih banyak rawatan perubatan diperlukan seperti perjumpaan bersama doktor, pembedahan, terapi fizikal dan ubat-ubatan preskripsi.

“Warga emas juga sering dikaitkan penyakit kronik yang perlukan rawatan dan penjagaan berpanjangan. Sebagai contoh, peningkatan kes kerosakan buah pinggang akibat penyakit diabetes dan darah tinggi yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas.

Pada masa sama, Dr Wei Sieng menjelaskan faktor utama penuaan penduduk adalah penurunan kadar kesuburan.

Beliau berkata, Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bilangan kelahiran hidup 2019 menurun 2.8 peratus berbanding 2018.

Katanya, angka dicatatkan pada 2019, iaitu 487,957 adalah paling rendah dalam tempoh satu dekad.

Lebih membimbangkan, katanya, kadar kesuburan bagi wanita berusia 15 hingga 49 tahun menurun daripada kadar 4.9 bayi pada 1970 kepada 1.8 pada 2019.

Tambahnya, punca penurunan kesuburan termasuk peningkatan bilangan wanita dalam pendidikan tinggi dan penyertaan kaum itu dalam tenaga buruh sehingga menyebabkan mereka lewat atau tidak berkahwin.

“Wanita bekerjaya dan sudah berkahwin juga kurang cenderung melahirkan anak kerana ia akan menjejaskan perkembangan kerjaya.

“Tahap kesuburan akan menurun selari peningkatan usia lelaki dan wanita. Pasangan sudah berkahwin memilih melewatkan rancangan melahirkan anak sehingga kewangan isi rumah stabil.

“Situasi penularan pandemik COVID-19 menyebabkan tekanan kewangan dalam kalangan penduduk turut menjejaskan rancangan pasangan suami isteri untuk melahirkan anak,” katanya.

Jelasnya lagi, faktor penuaan lain termasuk peningkatan jangka hayat.

Katanya, jangka hayat rakyat Malaysia adalah berpurata 75.93 peratus.

“Punca peningkatan jangka hayat adalah sistem perkhidmatan kesihatan yang baik, selain kesedaran penduduk terhadap kepentingan menjaga kesihatan yang semakin meningkat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button