Berita Utama

Masih tiada panggilan, KPM diminta bantu nasib 153 calon simpanan guru

Syor lanjut tempoh sah laku sehingga semua dapat lantikan tetap

BANGI, 14 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Kementerian Pendidikan (KPM) perlu membantu 153 calon simpanan guru supaya segera mendapatkan perjawatan lantikan tetap.

Ini berikutan status mereka – yang menjalani temuduga pada Ogos hingga November 2019 – sebagai calon simpanan guru bakal tamat sah laku pada 25 Disember 2020 bagi Semenanjung, dan 10 Januari 2021 untuk calon Sabah.

Perkara itu disuarakan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) dan Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam (GGPUA) menerusi satu kenyataan bersama, hari ini.

Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan dan bekas Pengerusi GGPUA, Mohd Azrinsyah Abdul Aziz berkata, status dan nasib 153 calon simpanan guru berkenaan menjadi tanda tanya, sama ada akan mendapat lantikan tetap atau sebaliknya.

“Untuk makluman, keputusan temuduga pada 25 Disember 2019 telah menyenaraikan 800 calon simpanan guru.

“Namun, pada bulan September dan Oktober 2020, seramai 647 calon simpanan sudah mendapat lantikan tetap dan hanya berbaki 153 calon simpanan guru yang masih menjadi tanda tanya tentang nasib mereka,” katanya.

Justeru, iGuru dan GGPUA berharap pihak berkaitan khususnya KPM dapat membantu 153 calon terbabit memandangkan isu kekurangan berlaku setiap tahun.

Bahkan, semua calon itu juga adalah graduan pendidikan universiti awam yang selayaknya menjawat jawatan guru, katanya.

“Jika pihak KPM tidak dapat memberikan perjawatan guru, kami memohon agar pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dapat melanjutkan tempoh sah laku kerana sebelum ini, kesemua calon simpanan guru mendapatkan lantikan tetap.

“Namun, pandemik COVID-19 menyebabkan lantikan tetap ini terganggu dan menyebabkan baki 153 calon simpanan masih berharap lantikan tetap disegerakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button