Berita UtamaDunia

Palestin minta campur tangan Switzerland tangani konflik Israel

Dakwa tindakan Zionis terancang, minta iktiraf kewujudan Palestin

RAMALLAH, 14 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Palestin menyeru Switzerland untuk membantu menangani konflik Palestin- Israel.

Ia dibangkitkan ketika perjumpaan di antara Perdana Menteri Palestin, Muhammad Shtayyeh dan Menteri Luar Negeri Switzerland, Ignazio Cassis semalam bagi membincangkan perkembangan politik di Palestin serta rantau ini.

Muhammad yang menerima kunjungan Cassis di pejabatnya di Ramallah berkata, Israel telah memutar belit fakta di wilayah Palestin yang diduduki berkaitan pendudukan haram, penyitaan tanah, pengepungan di Gaza serta pengasingan Baitulmaqdis.

Beliau berkata, tindakan Israel itu adalah satu usaha sistematik berterusan bagi melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Dunia mesti mencegah perkara ini dan menggesa (Israel) menamatkan penjajahan,” katanya.

Pada masa sama, Muhammad turut meminta Switzerland yang mempercayai hak dan keadilan, untuk melindungi penyelesaian antara dua negara dengan mengiktiraf Palestin.

Malah, beliau turut meminta negara itu terlibat dalam mewujudkan jalur politik yang serius dan nyata berdasarkan undang-undang antarabangsa serta resolusi PBB bagi memecahkan status quo.

Selain itu, Perdana Menteri itu menegaskan keterbukaan kepimpinan Palestin untuk kembali ke jalan politik berdasarkan syarat jelas mengikut undang-undang antarabangsa, selain mengambil pengajaran dan faktor penyebab kegagalan politik dalam tempoh 29 tahun terakhir.

“Hubungan kami dengan Israel umpama penduduk asal dan penjajah. Masyarakat antarabangsa harus berperanan menyeimbangkan hubungan ini melalui satu penyelesaian.

“Kita harus berusaha supaya perjanjian normalisasi Israel tidak menjadi peluang kepadanya untuk melakukan lebih banyak pelanggaran serta kedua-dua negara dapat diakhiri dengan penyelesaian,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button