Berita UtamaIstimewa

PEMBELA desak PDRM, KDN perjelas perkembangan siasatan kes Adib

Dakwa 12 suspek bawah Seksyen 143? Tak munasabah kerana kes babitkan kematian

BANGI, 14 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) didesak memberikan penjelasan lanjut berhubung perkembangan siasatan kes pembunuh anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Sebelum ini, keluarga Allahyarham Muhammad Adib berharap siasatan mencari penjenayah yang menyebabkan kematian anaknya dapat dilakukan segera berikutan sudah terlalu lama menunggu.

Bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 64, berkata, beliau masih tidak berpuas hati dan kecewa apabila pihak bertanggungjawa tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk membela kematian Allahyarham.

“Sebelum ini, Mahkamah Koroner sudah putuskan kematian Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu tidak dikenali, mahkamah itu juga turut merumuskan kegagalan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam mengawal rusuhan juga menyumbang kematian anak saya.

“Peguam keluarga saya sendiri sudah minta polis segerakan siasatan selanjutnya, sampai sekarang tak nampak apa-apa tangkapan lagi.

“Polis tidak berhubung dengan saya untuk memberitahu sebarang perkembangan terkini,” kata Mohd Kassim.

Memandang serius kekesalan yang dizahirkan keluarga Allahyarham, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyifatkan penjelasan KDN yang menyatakan untuk mendakwa hanya 12 suspek di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan adalah tidak munasabah, sedangkan kes membabitkan kematian.

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahya turut mempersoalkan kewajaran untuk diadakan inkues semula yang telah dicadangkan, dan tidak mengambil tindakan tuntas setelah inkues pertama selesai.

“PEMBELA mendesak agar PDRM dan KDN untuk memberikan penjelasan lanjut terhadap perkembangan terkini kes ini dan bukan datang dengan membawa cerita baharu yang berlawanan dengan keputuan Mahkamah Koroner serta fakta-fakta keterangan peguam Syazlin Mansor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, PEMBELA meminta Pejabat Peguam Negara tidak melengahkan kes itu, apatah lagi bekas Peguam Negara (AG), Tan Sri Tommy Thomas telah melakukan kesalahan besar yang tidak seiring dengan fungsinya.

“Sekali lagi, PEMBELA ingin menuntut agar semua pihak yang terlibat agar telus dan jujur bagi menyelesaikan kes ini dengan seadil-adilnya untuk menjaga kewibawaan dan integriti pemerintah dan negara.

“PEMBELA akan terus bersama keluarga Allahyarham Adib agar mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember 2018 selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariammam, USJ 25, Subang Jaya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button