Berita Utama

Suspek warga Nigeria campak cucu dipercayai ada masalah mental

Direman 7 hari bagi siasatan di bawah Seksyen 302, Sekyen 307 dan Seksyen 377c Kanun Keseksaan

KUALA LUMPUR, 14 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Seorang suspek lelaki warga Nigeria yang didakwa mencampak cucu tirinya dari tingkat empat bangunan pangsapuri setelah gagal memperkosa anak tirinya memberitahu polis bahawa dia mempunyai sejarah masalah kesihatan mental.

“Ujian air kencing telah dilakukan dan kami mendapati bahawa suspek mengambil ubat-ubatan kerana difahami bahawa dia mempunyai beberapa masalah kesihatan mental. 

“Belum ada rekod rawatan yang dijumpai, tetapi rakan dan keluarganya memaklumkan hal itu,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin dalam sidang media di ibu pejabat kontinjen di sini, hari ini.

Bagaimanapun, pihaknya masih menyiasat perkara itu sama ada suspek benar-benar mengalami masalah mental atau tidak.

Beliau memaklumkan bahawa suspek direman selama tujuh hari.

“Lelaki itu direman selama seminggu bagi siasatan di bawah Seksyen 302, Sekyen 307 dan Seksyen 377c Kanun Keseksaan,” katanya.

Semalam, suspek dipercayai marah setelah keluarganya menghalang untuk merogol anak tirinya di pangsapuri mereka di Danau Kota, Setapak.

Lelaki itu kemudian menumbuk semua ahli keluarganya sebelum mencampak cucu tirinya yang berusia empat tahun dari tingkat tiga pangsapuri. 

Kanak-kanak itu mati di tempat kejadian.

Tidak lama kemudian, suspek melompat melalui tingkap yang sama tetapi terselamat setelah jatuh.

Tiga ahli keluarga, termasuk isterinya, masih dirawat di hospital ketika ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button