Berita Utama

Syarikat punca COVID-19 tersebar luas patut disaman

Masyarakat sudah letih, mahu kembali hidup seperti biasa

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 14 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Mana-mana syarikat yang didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 sehingga mengakibatkan tersebarnya virus itu dalam kalangan pekerja dan orang awam wajib dihukum serta dikenakan tindakan tegas.

Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, sekiranya dapat dibuktikan syarikat itu telah melanggar SOP pencegahan COVID-19 dan mengabaikan hak pekerja untuk mendapatkan rawatan, maka ia wajar dikenakan tindakan lebih tegas.

“Sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas ke atas syarikat yang mementingkan diri sendiri. Patutnya syarikat-syarikat amalkan penjarakan fizikal yang ketat. Kalau tahu ada pekerja positif, tak sepatutnya nafikan hak pekerja untuk dapatkan rawatan bahkan ada yang masih minta datang kerja lagi. Ini sangat tidak patut.

“Kita tak mahu sikap majikan yang tidak mengikut peraturan ini berleluasa. Terlalu mementingkan keuntungan jangka pendek tetapi tidak sedar kerugian yang lebih besar di masa akan datang apabila terpaksa tutup kilang kerana gagal mematuhi perintah KKM,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dr Rafidah Hanim menegaskan, sepatutnya apabila ada sahaja kes waima satu kes sekali pun, majikan perlu segera mengambil tindakan dan tidak mengambil sambil lewa kejadian tersebut. 

“Bila ada kes positif kita lambat ambil tindakan, ini yang akan terjadi. Amat jelas dilihat SOP itu gagal dipatuhi apabila ribuan di tempat yang sama disahkan dijangkiti virus,” katanya.

Turut memberi peringatan kepada orang awam, beliau meminta supaya masyarakat meneruskan amalan mematuhi SOP seperti yang dilakukan sebelum ini dan tidak sesekali alpa.

“Saya faham, masyarakat kita letih. Terutama sekali apabila punca tersebarnya virus adalah kerana pihak lain, tetapi yang disalahkan adalah masyarakat. 

“Masyarakat pun nak hidup seperti biasa, banyak peniaga terjejas, orang ramai kehilangan pekerjaan. Kita tiada pilihan, memang kena hidup dengan virus itu buat masa sekarang. Jadi ingatlah untuk sentiasa kekalkan pengamalan SOP pencegahan COVID-19, ‘do not take for granted’,” katanya lagi.

Semalam, dilaporkan sebanyak 1,309 kes baru COVID-19 dengan lebih seribu jangkitan direkod di luar Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka kes baru tersebut menjadikan jumlah kes positif dalam negara sebanyak 64,485 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 11,481 kes.

Sabah merekodkan penurunan, dengan 291 kes manakala kebanyakan kes di Semenanjung direkod di Kuala Lumpur (493) dan Selangor (238).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button