Berita Utama

Belum ada gerakan kuat dari negara Islam berdepan normalisasi Israel

Tak mustahil AS tukar dan tubuh kerajaan pro-Israel

BANGI, 25 Rabiulawal 1442H, Rabu – Desakan penduduk negara Islam kelihatan begitu lemah kerana tidak mampu menghalang kerajaan dari menjalinkan hubungan normalisasi dengan negara haram Israel.

Bahkan, ia menjadi musibah apabila umat Islam atau dunia Islam sama ada rasmi mahupun tidak, alpa dalam memahami perancangan Amerika Syarikat (AS).

Oleh itu, Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berpandangan bukanlah sesuatu yang menghairankan sekiranya tidak ada satu gerakan kukuh yang menggabungkan negara-negara Islam di peringkat sivil mahupun dari gerakan Islam itu sendiri.

“Tidak ada satu usaha bersepadu yang kukuh, kuat yang berdiri di depan projek normalisasi. Kita tengok usaha-usaha yang ada sekarang ini di peringkat masyarakat bawahan.

“…dan apalagi dalam konteks COVID-19 hari ini, kita tengok mereka boleh gerak dalam media sosial sahaja, muktamar, perhimpunan besar disusun tapi dalam media sosial,” katanya dalam temu bual Buletin Pertiwi hari ini.

Baginya, lebih dikesali apabila Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak mampu digerakkan berikutan negara yang membiayai OIC itu sendiri telah menjalinkan hubungan rasmi dengan Israel.

“Jadi tidak ada negara-negara lain. Ada usaha seperti daripada Turki, sedikit daripada Malaysia dan hari itu cuba untuk menarik Pakistan bersama dalam satu gabungan tetapi gagal kerana Pakistan menerima ugutan dan bantuan daripada Saudi.

“Ada gerakan yang membantah tetapi pada peringkat yang sangat lemah.

“Saya rasa ini menyebabkan AS akan lebih berani dan tidak mustahil dalam konteks keseluruhannya, AS akan bertindak menukar kerajaan – menubuhkan kerajaan yang pro-Israel dan sebagainya,” katanya.

Ditanya mengenai kemampuan gerakan Islam di Timur Tengah untuk menggerakkan rakyat bagi mengatasi perkara ini, pemimpin Islam itu berkata, mereka tidak mampu dan ketika ini berada tahap yang sangat teruk.

Jelasnya, Arab Spring bukan sahaja memberi pukulan kepada rejim lama yang memerintah negara Arab seperti Mesir, malah menjatuhkan kerajaan.

Bahkan menjadi pukulan kepada gerakan Islam sedunia sekali gus menyebabkan ramai di kalangan mereka mengubah hala tuju dan pegangan serta tidak lagi berani ke depan dan mampu mengambil tanggungjawab.

“Kalau kita tengok dalam konteks Ikhwanul Mesir sendiri yang dahulunya memimpin gerakan Islam sedunia, sekarang ini sudah lumpuh,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button