Berita Utama

Apa perkembangan kes UMANY pertikai kuasa Agong?

Sejauh mana parti politik salah guna kuasa dalam institusi pendidikan?

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 15 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Selain mengekalkan status universiti terbaik di negara ini, pihak pentadbiran juga berperanan menjaga kemaslahatan perpaduan kaum mengikut Perlembagaan dan Rukun Negara sedia ada.

Justeru, segala ideologi yang bercanggah perlu dikekang dan diambil tindakan sewajarnya kerana telah mengganggu-gugat perpaduan kaum majmuk di dalam institut mahupun negara.

Atas dasar itu, Kelab Mahasiswa BERJASA (WIBAWA) menggesa semua kakitangan yang bertindak menjaga kemaslahatan Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (UMANY) secara langsung atau tidak, mengambil tindakan sepatutnya demi menjaga nama baik dan status Universiti Malaya (UM) sebagai salah satu universiti terbaik di Malaysia.

UMANY sebelum ini mencetuskan kontroversi – apabila mempersoal campur tangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam urusan pentadbiran negara.

Pertubuhan itu menyatakan pendiriannya – Agong tidak boleh mencampuri urusan negara tetapi perlu sentiasa menjaga sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Selepas dikritik teruk dan banyak laporan polis dibuat ke atas pertubuhan itu, UMANY tampil memohon maaf kepada Al-Sultan Abdullah menerusi satu kenyataan di Facebook.

Namun, sehingga hari ini masih lagi tiada tindakan atau perkembangan semasa hasil kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak UM.

Walhal pada 1 November lalu, UM berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung hantaran di Facebook bertajuk ‘Yang Dipertuan Agong Tidak Sepatutnya Campur Tangan Dalam Hal Ehwal Negara’ yang dimuat naik oleh UMANY.

UM berkata, siasatan lanjut akan dijalankan dengan segera dan pengumuman berkaitan isu berkenaan akan dimuat dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, WIBAWA mengingatkan pihak universiti berkenaan bahawa semua mahasiswa sentiasa menantikan perkembangan semasa dan menilai sejauh mana ‘golongan terpelajar’ UM menyelesaikan hal remeh ini.

Bercakap kepada Ismaweb.net hari ini, pihaknya menilai sejauh mana kuasa parti politik didahulukan berbanding tugas hakiki barisan ilmuan.

“Kami menilai, sejauh mana parti politik menyalahgunakan kuasa demi menjayakan agenda jijik dan kotor di dalam institut pendidikan.

“Jika masih ada ‘golongan terpelajar’ di Universiti Malaya, bubarkan dan haramkan UMANY dari bumi Universiti Malaya,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button