Dunia

500 penduduk terjejas gunung berapi Semeru meletus

Orang ramai tidak dibenarkan berada dalam radius 1 km di zon bahaya

JAKARTA, 15 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Kira-kira 500 penduduk terpaksa berpindah selepas gunung berapi Semeru di Pulau Jawa mula memuntahkan lava dan awan debu panas pada awal hari ini, menurut Agensi Pengurusan Bencana Indonesia. 

Jurucakapnya, Raditya Jati berkata, seramai 300 penduduk melarikan diri ke pusat pemerhatian dan selebihnya tinggal di tempat perlindungan yang terletak di kampung Supiturang. 

Gunung berapi yang terletak di Lumajang wilayah Jawa Timur itu dilaporkan meletus pada 1.23 pagi Selasa waktu tempatan. 

Ia mengeluarkan lava hingga 1 kilometer dan awan panas hingga 11km menuju daerah Besok Kobokan. 

Sekitar jam 3 pagi waktu tempatan, hujan turun menyebabkan air bercampur dengan abu gunung berapi di sekitar pusat pemerhatian. 

“Kita menganggarkan keadaan ini berlaku disebabkan lava panas yang berpotensi agak kuat,” kata Jati. 

Beberapa buah kampung terjejas akibat aktiviti gunung berapi Semeru, antaranya Supiturang, Oro-Oro Ombo, Rowubaung dan Sumberwuluh di daerah Lumajang. 

“Ini menyebabkan beberapa keperluan mendesak diperlukan ketika ini, seperti makanan segera, dapur dan pelitup muka,” katanya. 

Sementara itu, Pusat Mitigasi Vulkanologi Bahaya dan Geologi menyarankan penduduk setempat supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di zon berbahaya dalam radius 1 km dari puncak gunung berapi.

Sebagai persediaan, pihak berkuasa Indonesia juga telah mengedarkan 4,000 pelitup muka dan menyusun pusat pemindahan sementara.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button