Addy Kanna, Alvin ditahan di bawah POCA selama 2 tahun
Turut dikenakan tindakan sama adalah 2 anggota polis

KUALA LUMPUR, 15 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Alvin Goh dan Addy Kanna yang merupakan suspek utama kes judi dalam talian ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) selama dua tahun.
Turut ditahan di bawah akta sama adalah dua anggota polis.
Alvin atau nama sebenarnya Goh Leong Yeong akan ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor bersama seorang lagi anggota polis, manakala Addy pula ditahan di Penjara Pokok Sena, Kedah.
Manakala, seorang lagi anggota polis ditahan di Penjara Bentong, Pahang.
Sinar Harian melaporkan, hukuman berkenaan diputuskan oleh Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ), Kementerian Dalam Negeri, Jumaat lalu.
Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan penahanan terbabit memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Alvin dan Addy ditahan pada 2 dan 3 Oktober lalu selepas disyaki terlibat dengan aktiviti Macau Scam dan judi dalam talian yang mensasarkan mangsa di China dan bekerjasama dengan sindiket penipuan di luar negara.
SPRM turut merakam keterangan beberapa selebriti terkenal serta menahan beberapa pegawai dan anggota polis bagi membantu siasatan.