Berita Utama

ANGKASA ucap takziah pemergian kartunis komik dakwah Artortoise

‘Hasil karya beliau kekal akan terus mendidik kita semua’

BANGI, 15 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kartunis komik dakwah ‘Artortoise’, Allahyarham Mohamad Ikhsan Kamarudin yang telah meninggal dunia pada jam 1.37 tengah malam tadi.

ANGKASA memaklumkan, Allahyarham merupakan penggiat seni kartun anak muda yang banyak berjasa dalam menyampaikan mesej perpaduan kepada rakyat Malaysia.

“Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Mohamad Ikhsan Bin Kamarudin (Artortoise) yang baru sahaja kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

“Beliau telah pergi meninggalkan kita, tetapi hasil karya-karya beliau kekal akan terus mendidik kita semua.

“Mari sama-sama kita mendokan Allahyarham diberikan keampunan dan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Allahyarham Mohamad Ikhsan sebelum ini menghidap kanser pangkal hidung tahap tiga, selain turut dimasukkan ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan bagi komplikasi Hepatitis B atau hati sejak 22 Oktober lalu.

Berita pemergian beliau diumumkan menerusi laman Facebook rasmi Artortoise pagi ini.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Bandar Seri Putra, Kajang pagi ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button