Berita Utama

Boleh perkenal semula GST, tapi selepas COVID-19 berakhir

Jika kadar diturunkan kepada 4.0 peratus tidak bebankan rakyat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 15 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) – sistem percukaian yang teratur dan tidak tiris – dilihat boleh membantu kewangan negara.

Namun idea memperkenalkan semula sistem percukaian itu hanya sesuai dilaksanakan selepas pandemik COVID-19 mula reda.

Penganalisis Ekonomi Bebas, Dr Baayah Baba berpandangan bahawa sekiranya GST diturunkan kepada sekitar 4.0 peratus berbanding 6.0 peratus sebelum ini adalah tidak membebankan rakyat.

“Ia (GST) amat bagus diamalkan di Malaysia. Saya rasa GST lebih baik dari Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Dengan GST peniaga-peniaga tidak boleh lari dari membayar cukai. Setiap jual beli perlu dicatit,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Bagaimanapun bagi Dr Baayah, GST hanya wajar dilaksanakan selepas COVID-19 reda.

“Ini supaya pengguna tidak terlalu terbeban dengan pelaksanaannya. Tunggu ekonomi bertambah baik,” katanya.

Terdahulu, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim menyambut baik langkah dirancang kerajaan untuk memperkenalkan semula GST.

Mohd Sheriff mencadangkan kadar GST yang baharu diturunkan kepada 3.0 atau 4.0 peratus berbanding 6.0 peratus – apabila cukai itu dimansuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak lama selepas mengambil alih pentadbiran pada Mei 2018.

Jelasnya, GST pada kadar itu dapat memberikan pendapatan yang sama jika tidak melebihi daripada kadar 6.0 peratus yang ditetapkan sebelum ini dengan mengehadkan senarai pengecualian kepada minimum.

“Semakin banyak pengecualian, semakin rumit pelaksanaannya terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan mikro,” katanya.

Selain memperkenalkan semula GST, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Rabu lepas memaklumkan bahawa kerajaan turut meneliti cukai baharu yang bersesuaian yang hanya akan dilaksanakan apabila ekonomi pulih daripada impak pandemik COVID-19.

Katanya, kajian mengenai cukai terbabit dilaksanakan oleh jawatankuasa khusus yang ditubuhkan pada akhir 2019.

Malaysia mula mengenakan GST pada 1 April 2015 – menerusi pemerintahan Barisan Nasional (BN) – dengan kadar 6 peratus sehinggalah dimansuhkan oleh Pakatan Harapan pada 1 Jun 2018.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button