COVID-19: 8 banduan maut dalam kemuncak protes di penjara Sri Lanka
Polis abaikan permohonan pengasingan tahanan dijangkiti, ujian saringan pandemik

COLOMBO, 15 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Sekurang-kurangnya lapan banduan terbunuh dan lebih 50 cedera dalam rusuhan yang memuncak berkait pandemik di sebuah penjara yang sesak di Sri Lanka, kata para pegawai, semalam.
Rusuhan telah meningkat di beberapa penjara di Sri Lanka dengan tahanan melakukan protes terhadap polis dalam beberapa minggu terakhir selepas mereka menuntut ujian saringan COVID-19 ditingkatkan dan fasiliti pengasingan baru diwujudkan untuk tahanan yang dijangkiti.
Reuters melaporkan, rusuhan terbaharu di penjara Mahara, kira-kira 15 kilometer di utara ibu kota Colombo itu bermula pada hari Ahad (29 November) ketika beberapa tahanan memprotes tindakan memindahkan banduan yang dijangkiti virus COVID-19 dari penjara lain ke kampus penjara yang sama.
Ratusan polis tambahan dikerahkan untuk membantu pengawal dan memperkuat keselamatan di semua penjara. Dua pegawai dilaporkan cedera parah.
Sri Lanka telah menyaksikan peningkatan penyakit ini sejak bulan lalu dan penjara yang terlalu padat di seluruh negara telah melaporkan ribuan jangkitan baru.
Penjara di Sri Lanka sangat padat dengan lebih daripada 26,000 tahanan dikumpulkan di kemudahan yang sepatutnya menempatkan hanya seramai 10,000 orang.
Peguam pihak Jawatankuasa untuk Melindungi Hak Banduan, Senaka Perera mengatakan para tahanan berasa kecewa kerana permohonan mereka untuk dilakukan ujian coronavirus dan pemisahan tahanan yang dijangkiti telah diabaikan oleh pegawai polis selama lebih dari sebulan. – Agensi