Berita UtamaDunia

India kutuk resolusi OIC minta batal keputusan mansuh autonomi Kashmir

OIC tolak tindakan haram, unilateral New Delhi terhadap lembah itu

NEW DELHI, 15 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Kerajaan India nampaknya tidak berpuas hati dan memberikan teguran keras kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) setelah ia meluluskan resolusi yang meminta Perdana Menteri, Narendra Modi membatalkan keputusan untuk mengakhiri status semi autonomi Kashmir.

Kenyataan India menyusul serangkaian ciapan di laman Twitter oleh Menteri Luar Pakistan, Shah Mahmood Qureshi, di mana beliau memperincikan resolusi OIC yang mendesak India menghentikan program perubahan demografinya di Kashmir susulan pembatalan Artikel 370 dari Perlembagaan India, pada Ogos 2019.

Artikel 370 sebelum ini mengizinkan wilayah itu memiliki hak autonomi tertentu, termasuk bendera, perlembagaan sendiri dan hak untuk membuat undang-undang.

Namun, India mahu memansuhkan autonomi khas yang diperoleh Kashmir sejak tujuh dekad lalu, mencetuskan kemarahan negara jirannya, Pakistan.

Sementara itu, resolusi yang diluluskan OIC untuk meminta Modi membatalkan keputusan tersebut dianggap New Delhi sebagai satu tindakan berbentuk anti-India.

“Kami dengan tegas menolak rujukan yang tidak benar, tidak wajar dan tidak beralasan terhadap India dalam resolusi yang diterima oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada Sesi CFM ke-47 yang diadakan di Niamey, Republik Niger, pada 27-28 November 2020,” Kementerian Luar Negeri India berkata pada hari Ahad.

OIC dalam resolusinya dengan tegas menolak tindakan haram dan unilateral yang diambil oleh pemerintah India di wilayah yang diduduki sejak 5 Ogos 2019. 

Ia meminta India untuk membatalkan sijil tempat tinggal yang diperakui kepada orang bukan Kashmir dan langkah-langkah yang diambil untuk mengubah profil demografi lembah itu.  

Ia juga mengutuk pelanggaran hak asasi manusia oleh pasukan keselamatan India. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button