Berita Utama

Pelarian Syria hingga kini masih dihujani peluru, bom

Setakat akhir 2019, 6.2 juta masih jadi pelarian dalam negara

BANGI, 15 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Meskipun kebanyakan rakyat Malaysia terjejas teruk akibat COVID-19, hakikatnya keadaan penduduk di Syria – negara yang dilanda perang – lebih buruk selepas wabak menular di negara itu. 

Walaupun sebelum adanya pandemik ini, empat daripada lima rakyat Syria sudah sedia miskin apabila hampir sedekad berperang.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, selepas hampir sembilan tahun perang saudara, situasi di Syria terus memburuk dengan akhir 2019 mencatatkan 6.2 juta rakyat itu menjadi pelarian di dalam negara (IDP).

“Sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib menimpa pelarian Syria yang hingga kini masih dihujani peluru dan bom.

“Ditambah pula dengan ujin COVID-19, ibarat kata berat untuk mata melihat, berat lagi bahu yang memikulnya,” katanya dalam tulisan di Berita Harian, hari ini.

Beliau berkata, keperluan bantuan kemanusiaan, makanan asas dan perubatan sangat mendesak, khususnya untuk golongan rentan seperti kanak-kanak, wanita hamil, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas yang teruk terkesan.

“Dengan keadaan dunia dalam kesusahan, nasib mereka semakin ditelan masa dan zaman.

“Dengan suasana perang yang masih berterusan, kejadian banjir di sesetengah tempat, kejatuhan mata wang Syrian Pound (SYP) sehingga 90 peratus lemah berbanding permulaan awal tahun, pengangguran, kenaikan harga barang dan musibah COVID-19 melengkapkan lagi kesusahan mereka,” katanya.

Jufitri berkata, kesusahan itu juga dirasai negara lain seperti Palestin – yang masih dijajah rejim Israel -, Timur Leste dan Sudan Selatan.

“Semua data ini benar-benar menginsafkan kita, belia dan rakyat Malaysia kerana sekurang-kurangnya kita masih berada di Malaysia, cuma perlukan semangat luar biasa untuk bangkit.

“Bagi yang diberikan kelebihan rezeki dan kudrat, teruskan membantu rakyat Malaysia yang susah di samping menghulurkan sedikit derma kepada sahabat kita di luar negara,” katanya.

Konflik di Syria kini sudah memasuki tahun ke-10 apabila rejim Bashar al-Assad memperkukuh kedudukan di negara yang dilanda perang dan kehancuran ekonomi, akibat campur tangan asing.

Sejak itu, sekurang-kurangnya 384,000 individu terkorban, termasuk lebih 116,000 orang awam. 

Konflik yang berlaku turut menyebabkan lebih 11 juta rakyat di dalam dan luar negara itu kehilangan tempat tinggal yang memaksa mereka menjadi pelarian di negara jiran dan Eropah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button