Berita UtamaIstimewa

Pulangkan panda kepada China, negara jimat setengah juta ringgit

Ekonomi merudum, jadi tiada kepentingan pun jaga panda milik China

BANGI, 15 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Kerajaan wajar mempertimbangkan desakan Persatuan Haiwan Malaysia supaya memulangkan semula tiga ekor panda di bawah jagaan Zoo Negara ketika ini, kepada negara asalnya, China.

Gesaan itu perlu dipandang serius memandangkan kos penjagaan dan pembiayaan insurans haiwan yang tinggi, apatah lagi Zoo Negara hanya bergantung kepada penjualan tiket pelawat dan beberapa tajaan daripada entiti persendirian.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika mendedahkan kos insurans panda sahaja melebihi setengah juta setahun, ini tidak termasuk lagi kos pemuliharaan dalam pengawasan Zoo Negara seperti utiliti, makanan, tenaga kerja dan kesihatan.

Beliau berkata, pihaknya tidak melihat sebarang kepentingan untuk Malaysia mengambil tanggungjawab menjaga panda terbabit, dalam keadaan haiwan tempatan seperti tapir, gajah dan harimau sedang diancam kepupusan dengan jumlahnya dianggarkan berbaki di antara 200 hingga 300 ekor sahaja.

“Jika benarlah panda jadi tarikan untuk pengunjung melawati Zoo Negara, mengapa tidak mampu bertahan, walaupun COVID-19 baharu bermula sekitar 9 bulan?

“Satu perkara yang perlu kita ingat, panda berkenaan adalah milik asal China, jika kelahiran berlaku, anak panda mesti dipulangkan, jadi apa yang kita dapat hanyalah bebanan.

“Jadi, pihak persatuan memohon kerajaan mengutamakan usaha konservasi haiwan tempatan yang dilindungi menerusi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana ia adalah harta negara,” katanya.

Menyambut baik saranan Persatuan Haiwan Malaysia itu, Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin menggesa kerajaan mendahulukan kebajikan rakyat lebih-lebih lagi apabila dianggarkan 735,000 orang hilang pekerjaan tatkala pandemik COVID-19 ini.

Beliau menyifatkan kos pembiayaan panda yang mana insurannya sahaja melebihi setengah juta ringgit setahun amat tinggi.

“Bil elektrik mungkin antara RM10,000 hingga RM20,000 sebulan. Itu belum lagi makanan, tenaga kerja dan kesihatan.

“Banyak lagi langkah-langkah penjimatan yang boleh dilakukan oleh kerajaan Malaysia di fasa ekonomi merudum ini.

“Dianggarkan lebih 735,000 orang telah kehilangan pekerjaan di seluruh negara sejak wabak COVID-19 ini,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Malaysia menerima dua ekor panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang daripada kerajaan China sebagai meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara, pada 21 Mei 2014.

Panda berkenaan melahirkan anak pertama pada 18 Ogos 2015 yang diberi nama Nuan Nuan.

Nuan Nuan telah dihantar pulang ke China pada 14 November 2017 sebagai memenuhi syarat perjanjian kedua-dua negara, manakala, anak kedua pasangan panda itu, Yi Yi pula dilahirkan pada 14 Januari 2018 dan masih berada di bawah jagaan Zoo Negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button