Berita Utama

Sabah benar aktiviti menyelam termasuk di zon merah

Terhad kepada penyelam sedia ada di daerah punyai aktiviti menyelam

KOTA KINABALU, 15 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Aktiviti menyelam termasuk di zon merah kembali dibenarkan sejajar kelonggaran aktiviti rekreasi dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, aktiviti menyelam dibenarkan kerana ia dikategorikan sebagai aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal.

Kebenaran itu juga diberi selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk membenarkan semula aktiviti itu.

“Aktiviti menyelam ini boleh dilaksanakan dengan syarat bot yang membawa penyelam ke lokasi selaman tidak melebihi 30 peratus daripada muatan bot bagi memastikan ada penjarakan fizikal.

“Bagaimanapun, kebenaran itu terhad kepada penyelam sedia ada di daerah yang ada aktiviti menyelam bagi membolehkan mereka melepaskan keinginan untuk melakukan aktiviti berkenaan.

“Maknanya, penyelam di Kota Kinabalu hanya dibenarkan pergi menyelam di perairan Kota Kinabalu. Begitu juga di perairan Semporna, hanya penyelam di daerah itu dibenarkan kerana kita masih tertakluk dengan larangan rentas daerah,” katanya seperti dilapor BH Online, hari ini.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah berkata, prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi aktiviti menyelam akan dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah tidak lama lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button