Berita Utama

Syor buat dasar pemulihan lonjak ekonomi Negeri Sembilan

Pastikan bantuan sampai pada kumpulan sasar, rakyat terjejas

BANGI, 15 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Pakatan Harapan (PH) membentangkan belanjawan defisit yang terbesar dalam sejaran Negeri Sembilan, dakwa Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, belanjawan itu mengguna pakai rizab kerajaan yang banyak ditinggalkan oleh Barisan Nasional (BN) sewaktu memerintah negeri berkenaan sebelum ini.

Justeru, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mengingatkan kerajaan negeri PH supaya menguruskan perbelanjaan sebaik mungkin, agar memanfaatkan keseluruhan rakyat.

“Uruslah perbelanjaan dengan sebaik mungkin agar pelaksanaan dapat benar-benar sampai dan dapat dinikmati oleh kumpulan sasar dan rakyat yang terjejas.

“Saya juga mencadangkan agar kerajaan Negeri Sembilan membuat dasar pemulihan (recovery policy) bagi melonjakkan prestasi ekonomi era post COVID-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan Negeri Sembilan membentangkan belanjawan defisit sebanyak RM112 juta bagi tahun hadapan membabitkan peruntukan sebanyak RM560 juta.

Dalam pembentangan yang bertemakan ‘Merangsang Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ pada Jumaat lalu, Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, anggaran hasil yang akan diperoleh tahun hadapan adalah berjumlah RM448 juta.

Belanjawan itu menyaksikan sebanyak empat strategi akan direalisasikan melalui 53 inisiatif yang merangkumi 22 inisiatif sedia ada dan 31 inisiatif baharu.

“Sudah tiba masanya kerajaan negeri mengembalikan semula simpanan rizab yang ada kepada rakyat dalam bentuk inisiatif kebajikan, bantuan insentif dan program pembangunan,” kata Aminuddin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button