Berita Utama

Wujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja, rampas kembali tanah Pahang diceroboh!

Tauke gelak ketawa jarah hasil bumi bersama segelintir pemimpin tamak

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 15 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Biar apa pun keputusan kes semakan kehakiman yang difailkan 111 pekebun durian haram Raub, hakikatnya seluruh tanah dan hasil bumi negeri Pahang masih dalam bahaya.

Sebelum ini, 111 pekebun berkenaan memfailkan permohonan ke mahkamah bagi menyemak arahan kerajaan negeri yang menggesa mereka mengosongkan tanah kebun.

Mahkamah Tinggi Kuantan menetapkan keputusan permohonan bagi mengetepikan notis pengosongan tanah pada 9 Disember depan.

Dilaporkan, bukan kes ini sahaja, banyak lagi siri pencerobohan tanah dan hutan yang kini dibongkar satu persatu.

Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat berkata, kartel yang menguasai projek akan terus menguasai dan menjarah hasil bumi Pahang.

Sementara kerajaan dan penguatkuasa pula dikhuatiri terus lemah sehingga menyebabkan nasib rakyat peribumi akan terus dilayan sebagai kelas dua dalam negeri mereka sendiri.

Beliau menegaskan, rakyat selalu dipergunakan ketika perlu sahaja, contohnya ketika mendapatkan undi dalam pilihan raya.

Bagaimanapun, keadaan berubah apabila segelintir pemimpin politik mendapat jawatan dan kuasa, mereka cepat sombong dan tidak lagi mendengar keluhan rakyat marhaen sebaliknya melayani tauke-tauke syarikat yang banyak duit.

“Fenomena kacang lupakan kulit ini juga berlaku dalam kes pencerobohan tanah di negeri Pahang. 

“Bila kerajaan ditipu oleh penceroboh dan mengalami kerugian jutaan ringgit, NGO Melayu Islam-lah yang menggerakkan gelombang kebangkitan rakyat untuk mempertahankan kerajaan.

“… sama seperti di Kuala Lumpur, gerakan bantahan ICERD yang turut digerakkan oleh NGO Melayu Islam hingga akhirnya membuahkan hasil pertukaran kerajaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Apa yang menyedihkan, kata Ustaz Masridzi, seperti yang pernah dinyatakan oleh Presiden UMNO dalam satu pertemuan dengan PEMBELA suatu ketika dahulu, ‘NGO ini umpama daun kari, dipakai orang ketika nak masak gulai tapi bila dah masak dan waktu nak makan, daun kari dikutip dan dicampak ketepi.’

Demikian juga suara NGO Melayu dan rakyat yang prihatin di bumi Pahang, katanya.

“Telah berkali-kali mereka bersuara untuk meminta pihak kerajaan serius memerangi isu pencerobohan tanah dan hasil bumi negeri ini, namun usahkan suara kita nak dilayan, memo yang dihantar pun Menteri Besar tidak mahu turun untuk terima walaupun cuma beberapa minit.

“Tauke-tauke Cina pula ‘bergelak ketawa’ menjarah hasil bumi dan menceroboh tanah kerajaan dan hutan simpan bersama segelintir pemimpin yang tamak dan berkepentingan diri,” luahnya.

Memetik kata-kata bekas pengarah SPRM di Pahang dulu, “Pahang negeri yang luas dan kaya dengan hasil bumi, sepatutnya rakyat negeri ini kaya dah macam di Brunei.

Pun begitu, sikap segelintir mereka yang tamak haloba akhirnya menyebabkan hasil bumi yang dikurniakan oleh Allah SWT menjadi milik orang lain.

“Rakyat tetap susah menderita. Nak dapat tanah seekar dua pon susah, tapi penceroboh boleh dapat ratusan bahkan ribuan ekar tanah dengan mudah dan senang,” kata Ustaz Masridzi.

Gelombang rakyat boleh berlaku lagi seperti Himpunan 812’

Dalam pada itu, Ustaz Masridzi juga percaya, Sultan Pahang turut berdukacita ekoran kejadian ini, namun kepada siapa baginda hendak meletakkan harapan jika sikap pemimpin masih berlunak dengan penceroboh. 

“Gelombang perubahan boleh berlaku jika Tuanku Sultan bertegas, para pemimpin berwibawa dan berintegriti tinggi untuk memacu perubahan. 

“Serta gelombang rakyat yang dipimpin oleh gabungan NGO, ulama, badan dakwah, persatuan kebajikan komuniti yang disisihkan bangkit berkumpul dan bersuara lantang seperti gelombang Himpunan 812 Bantahan ICERD dulu yang pernah menggegarkan negara,” katanya.

Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja Pemutihan Tanah

Justeru, bagi membanteras kegiatan haram yang sudah berleluasa sejak sekian lama ini, beliau mencadangkan suatu Badan Suruhanjaya Siasatan Diraja Pemutihan Tanah dan hasil bumi negeri Pahang diwujudkan.

Katanya, ia perlu melibatkan pihak yang berkecuali bagi menyemak, menyiasat, membaik pulih dan mendakwa mana-mana konsesi syarikat atau agensi yang didapati menyeleweng, menyalah guna kuasa, bersubahat dan terlibat dengan rasuah.

Ini termasuk merampas kembali tanah dan menuntut ganti rugi maksimum ke atas jenayah yang telah dilakukan selama ini.

“Jika Suruhanjaya Diraja Pemutihan Tanah dan hasil bumi negeri Pahang ini dapat ditubuh dan digerakkan, insya-Allah akan ada sinar buat rakyat peribumi untuk melihat pembelaan terhadap nasib anak jati rakyat bumi bertuah ini akan menjadi kenyataan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button