Berita Utama

5 sektor bantu ekonomi dibangkit Dewan Rakyat hari ini

Selain bantuan, perlindungan diberikan kerajaan kepada warga emas

KUALA LUMPUR, 16 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Sektor ekonomi yang membantu pertumbuhan ekonomi negara semasa COVID-19, antara perkara dijangka dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu akan diajukan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) pada sesi soal jawab yang meminta Perdana Menteri memperincikan lima sektor ekonomi yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan sektor yang banyak membantu pertumbuhan ekonomi negara semasa COVID-19.

June Leow Hsiad Hui (PH-Hulu Selangor) pula mengajukan soalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai jenis perlindungan dan bantuan yang disediakan oleh kementerian itu untuk warga emas yang merupakan golongan berisiko tinggi terhadap penularan COVID-19.

Pada sesi sama, R. Sivarasa (PH-Sungai Buloh) turut meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan akan melaksanakan satu dasar rasmi untuk menubuhkan sistem dan prosedur dalam kerajaan bagi memberi perlindungan kepada pemberi maklumat (whistleblowers) yang bertindak dengan niat baik di dalam perkhidmatan awam, semua agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Seterusnya, Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi memperincikan mengenai jumlah sumbangan pergerakan koperasi dalam negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Persidangan dewan kemudian diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa melibatkan tiga lagi kementerian mengikut giliran seperti yang dijadualkan.

Mengikut jadual giliran, perbahasan hari ini akan tertumpu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Semalam menyaksikan peruntukan bagi Kementerian Luar, Kementerian Perpaduan Negara serta Kementerian Perusahaaan Perladangan dan Komoditi dalam Belanjawan 2021 lulus di peringkat jawatankuasa dengan hanya satu daripadanya melalui proses undi belah bahagian.

Peruntukan kementerian yang melalui proses itu ialah Kementerian Perusahaaan Perladangan dan Komoditi apabila lebih 15 Ahli Parlimen bangun meminta undi belah bahagian dibuat selepas undian mengikut suara.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 bagi kementerian itu lulus di peringkat Jawatankuasa selepas sejumlah 108 Ahli Parlimen mengundi menyokong, 95 tidak bersetuju manakala 17 tidak hadir.

Kelulusan itu menjadikan peruntukan bagi kementerian yang telah lulus di peringkat jawatankuasa setakat ini ialah lima dengan dua daripadanya diluluskan mengikut undian suara terbanyak manakala tiga melalui proses undi belah bahagian.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat sesi perbahasan berkenaan akan berlanjutan selama 10 hari sehingga 15 Disember ini, sementara Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 29 hari sehingga 17 Disember. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button