Data peribadi MySejahtera dijamin selamat
Ciri keselamatan patuhi piawaian antarabangsa

BANGI, 16 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Data peribadi dalam aplikasi MySejahtera selamat kerana dikawal selia sepenuhnya oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Aplikasi dimiliki sepenuhnya Kementerian Kesihatan (KKM) itu, dikawal di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi, selain ciri keselamatannya mematuhi piawaian antarabangsa dalam melindungi kerahsiaan dan keselamatan data.
Justeru dengan ciri keselamatan kukuh itu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa data peribadi rakyat dalam aplikasi MySejahtera selamat.
Memetik laporan Berita Harian hari ini beliau berkata, rakyat negara ini tidak perlu bimbang dengan sebarang kebocoran maklumat peribadi mereka melalui aplikasi itu.
“Rakyat tidak perlu bimbang kerana ia di bawah kawalan kerajaan dan kita mengawalnya serta memastikan data peribadi itu dilindungi daripada sebarang isu kononnya data itu dikongsi sesiapa.
“Adalah menjadi kesalahan jika data peribadi itu dikongsi mana-mana pihak tidak bertanggungjawab dan boleh didakwa di bawah Akta Perlindungan Peribadi,” katanya.