Berita Utama

Gerakan sains palsu makin agresif bila vaksin COVID-19 nampak hasil

Antivaksin dakwa vaksin tak halal, guna nama agama 'halalkan' perjuangan

BANGI, 16 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Gerakan sains palsu semakin agresif disebabkan ahli perubatan mula menampakkan kejayaan peringkat awal dalam pembangunan vaksin COVID-19.

Penyelidik di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Univesiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Rosdiadee Nordin berkata, gerakan itu tidak asing di negara ini dengan ada di antara mereka termasuk dalam golongan antivaksin.

Katanya, mereka kadang kala memberi ulasan ‘nakal’ di portal Majalah Sains sejak 2009, bahkan mereka mudah dikesan berdasarkan hujah sains palsu melalui akaun palsu di media sosial.

Tambahnya, gerakan itu juga berada di mana sahaja malah berkerjaya profesional.

“Di sebalik usaha rancak membendung COVID-19, timbul ‘polemik’ di media sosial apabila ada netizen yang menaikkan status yang menyatakan kekesalan terhadap ilmu sains yang dipelajari selama ini. Menurut individu itu, sains ialah ilmu sihir, manakala vaksin pula agenda Iluminati memperhambakan manusia.

“Hujah utama mereka ialah kandungan vaksin tidak halal, lantas menjadikannya sebagai agenda utama Barat membenci Islam.

“Ironinya, wujud golongan antivaksin dari Australia yang mengatakan vaksin COVID-19 ialah agenda Islamisasi atas alasan ia mempunyai kandungan halal. Apa yang pasti, golongan antivaksin menggunakan agama sebagai dinding pertahanan dalam ‘menghalalkan’ perjuangan mereka,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Pada masa sama, Dr Rosdiadee menjelaskan kekalutan di media sosial berkaitan isu sihir mendedahkan tiga kepincangan utama dalam masyarakat.

Katanya, ini termasuk negara ini masih jauh daripada mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif yang sepatutnya dicapai pada tahun ini melalui Wawasan 2020.

Selain itu, beliau berkata, faktor lain turut membabitkan kebebasan bersuara dalam bentuk sebaran maklumat palsu yang semakin berleluasa, hingga menimbulkan kekeliruan umum serta boleh mengancam keselamatan negara.

“Masyarakat disogok maklumat palsu dan kisah remeh, malah tidak membantu dalam meningkatkan tahap kesedaran masyarakat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button