Berita UtamaDunia

Presiden Filipina bertemu Menteri China selesai konflik Laut China Selatan

Manila, Beijing sedia lebih banyak talian komunikasi atasi isu maritim

MANILA, 2 Syawal 1444H, Ahad – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr dan Setiausaha Luarnya bertemu Menteri Luar China Qin Gang untuk bekerjasama menyelesaikan konflik maritim di Laut China Selatan.

Rundingan antara pegawai utama negara di Manila menandakan perkembangan terbaharu dalam siri mesyuarat dengan pemimpin Amerika Syarikat dan China ketika kedua-dua kuasa besar itu bersaing untuk kelebihan strategik di Indo-Pasifik.

“Mengenai konflik, kami bersetuju untuk mewujudkan lebih banyak talian komunikasi supaya sebarang kejadian yang berlaku di Laut Filipina Barat yang melibatkan China dan Filipina dapat diselesaikan segera,” kata Marcos dalam satu kenyataan.  

Manila merujuk kepada bahagian Laut China Selatan yang didakwanya sebagai Laut Filipina Barat.

Marcos berkata, lawatan Qin membantu dalam membincangkan beberapa perkara dan meneruskan usaha untuk mengembangkan hubungan antara kedua-dua jiran.

Qin dan rakan sejawatannya, Setiausaha Luar Filipina, Enrique Manalo, membincangkan pandangan mengenai isu strategik dan serantau semasa rundingan dua hala yang bermula lebih awal pada Sabtu.

Pada permulaan rundingan, Qin berkata, kedua-dua negara perlu bekerjasama untuk meneruskan tradisi persahabatan, mengeratkan kerjasama dan menyelesaikan perbezaan dengan betul.  

Manalo menegaskan, Filipina mematuhi Dasar Satu China, sambil menyatakan kebimbangan terhadap ketegangan yang semakin memuncak di seluruh Selat Taiwan.

Duta China ke Filipina minggu lalu mencetuskan kekecohan apabila menuduh negara Asia Tenggara itu ‘menyalakan api’ ketegangan serantau dengan menawarkan akses pangkalan tentera yang diperluas ke Amerika Syarikat.

Menteri Luar Manila berkata, hubungan dengan Beijing adalah lebih daripada sekadar perbezaan mereka berhubung Laut China Selatan, yang menyaksikan laluan barangan bawaan kapal bernilai kira-kira AD$3 trilion setiap tahun dan dipercayai kaya dengan mineral dan deposit minyak dan gas. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button