Berita UtamaIstimewa

Pekebun Raub menang? ISMA ajak rakyat ikut rapat kes di mahkamah

Sebarkan poster keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Disember ini

BANGI, 16 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Rakyat Malaysia khususnya anak-anak Pahang diajak untuk mengikut rapat perkembangan keputusan mahkamah bagi kes pencerobohan tanah di Raub, minggu hadapan.

Ini kerana, ada kemungkinan pekebun-pekebun haram itu menang dalam kes tuntutan mereka di Mahkamah Tinggi Kuantan pada 9 Disember ini.

Justeru, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berharap, semua pihak tidak terlepas pandang berhubung isu besar itu setelah tiada siapa yang menguar-uarkannya.

“Mungkin ramai yang terlepas pandang, keputusan mahkamah bagi kes pencerobohan tanah di Raub, Pahang (isu Musang King Raub) adalah pada minggu hadapan.

“Menang atau kalah, segalanya kita akan ketahui pada 9 Disember 2020 di Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang.

“Boleh jadi pekebun-pekebun haram itu yang menang tetapi kita tidak sedari kerana tiada siapa pun yang mengikuti dan menggembar-gemburkannya,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zainal Azman Ab Aziz menetapkan 9 Disember 2020 untuk pendengaran kes semakan kehakiman yang difailkan 111 pekebun durian Raub, bagi mengetepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap mereka.

Keputusan itu dibuat setelah mendengar hujah kedua-dua pihak plaintif yang diwakili peguam, Siew Choon Jern dan Brendan Siva serta responden-responden yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noor Fadzila Ishak dalam sebutan semula kes pada 28 Oktober lalu.

Aminuddin menambah, bagi mengingatkan semua pihak, beliau mengambil inisiatif membuat kiraan atau ‘countdown’ di Facebook setiap hari sehingga tiba tarikh keputusan.

“Minta jasa baik anda semua sebarkan poster ini kepada orang-orang kampung, saudara-mara, sahabat-sahabat dan kenalan-kenalan anda terutamanya di Pahang,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button