Polis Petaling Jaya buka 57 kertas siasatan kes pinjaman tidak wujud
Ramai terpengaruh dengan iklan janji proses kewangan segera

KUALA LUMPUR, 16 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Polis Petaling Jaya telah membuka 57 kertas siasatan berhubung kes pinjaman tidak wujud melibatkan kerugian hampir RM700,000 sepanjang tempoh Januari hingga November lepas, di samping membuat 28 tangkapan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam banyak kes, modus operandi yang digunakan adalah mengiklankan tawaran pinjaman dengan menggunakan media sosial seperti Facebook, mesej pesanan ringkas (SMS) dan melalui WhatsApp secara rambang.
Beliau berkata, pengadu yang mempunyai masalah kewangan biasanya menganggap iklan berkenaan sebagai peluang untuk mendapat pinjaman secara pantas dengan kadar bayaran bulanan yang rendah tanpa menyedari ia adalah taktik penjenayah mencari mangsa.
Jelasnya, iklan yang disebarkan menjanjikan proses kewangan yang diperoleh dengan segera tanpa masalah, membuatkan ramai mudah terpengaruh.
“Apabila pengadu bertanyakan soalan kepada suspek, pelbagai alasan yang tidak munasabah pula diterima, panggilan tidak dijawab selain nombor turut disekat, menyebabkan (akhirnya) mereka terpaksa menanggung kerugian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nik Ezanee berkata, hasil siasatan polis mendapati ada pemilik akaun atau lebih dikenali sebagai ‘keldai akaun’, bukanlah suspek utama yang melakukan penipuan bahkan adakalanya mereka turut menjadi mangsa.
Terpedaya dengan habuan tidak seberapa, beliau berkata, pemilik akaun ini sanggup menjual akaun bank mereka untuk mendapat sedikit wang tanpa mengetahui aktiviti di sebaliknya.
“Kita nasihatkan orang ramai supaya berurusan dengan pihak atau agensi yang dikenali sekiranya ingin membuat pinjaman. Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran atau iklan pinjaman yang memberikan janji-janji manis,” katanya. -Bernama