Berita Utama

Sawit Anugerah Tuhan tak diskriminasi orang bukan Islam

Barat sebelum ini boikot kelapa sawit kerana akibatkan haiwan liar berkurangan

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 16 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Pertukaran nama kempen ‘Sayangi Sawitku’ kepada ‘Sawit Anugerah Tuhan’ tidak bertujuan untuk mendiskriminasi orang bukan Islam, kata pakar ekonomi.

Menolak dakwaan nama kempen baharu itu bahaya kepada negara, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai menegaskan, kebanyakan penduduk dunia termasuk komunis mempercayai Tuhan.

Beliau berkata, negara Barat sebelum ini telah memboikot kelapa sawit kerana penanamannya di Malaysia telah mengakibatkan jumlah haiwan-haiwan liar berkurangan.

“Barat menganggap kelapa sawit bukanlah penanaman baik berikutan menyebabkan pencemaran alam.

“Namun kita sekarang mahu mencabar bahawa penanaman kelapa sawit di Malaysia adalah mengikut peraturan dan mendapat persijilan sebagai penanaman lestari,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin mendakwa, pertukaran nama kempen ‘Sayangi Sawitku’ kepada ‘Sawit Anugerah Tuhan’ mendatangkan bahaya kepada negara.

Beliau mendakwa, negara luar seperti Barat akan menganggap kempen itu patuh syariah berikutan ada perkataan ‘tuhan’.

“Kita kena faham di luar sana dia orang sudah anti kita. Bila sebut nama tuhan itu, bagi orang Barat ini mereka menganggap ada kaitan dengan patuh syariah,” dakwanya.

Prof Barjoyai Barjoyai berkata, nama baharu itu lebih sesuai disebabkan skop penanaman kelapa sawit boleh diluaskan ke seluruh dunia.

Ini kerana, nama lama ‘Sayangi Sawitku’ lebih tertumpu kepada penduduk tempatan negara ini.

“Slogan ini mengajak kita untuk menyayangi pokok kelapa sawit kerana memberi hasil baik dan hasil sumber yang boleh dimakan.

“Ia tidak dikongsi dengan seluruh dunia termasuk tiada kaitan dengan orang Eropah,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button