Berita UtamaDunia

Sudan ancam tarik diri normalisasi dengan Israel

Gesa AS keluarkan negara itu daripada senarai penaja keganasan

KHARTOUM, 16 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Sudan mengancam untuk menarik diri daripada perjanjian normalisasi dengan Israel jika Kongres Amerika Syarikat (AS) tidak mengeluarkan negara itu dalam senarai Penaja Keganasan (SST) pada akhir tahun ini, menurut laporan.

Sekurang-kurangnya lima pegawai mengesahkan keadaan itu kepada New York Times, lapor akhbar itu, semalam.

Sudan mengumumkan keputusannya untuk menormalkan hubungan diplomatik dengan Israel akhir bulan lalu, berdasarkan keputusan Washington untuk menyingkirkan Khartoum daripada senarai SST.

Penghapusan itu telah ditetapkan sebagai dorongan utama bagi ekonomi Sudan yang sedang berjuang dan merupakan langkah penting dalam usahanya untuk bergabung kembali ke dalam masyarakat antarabangsa setelah pemberontakan tahun lalu menggulingkan pemimpin lama Omar al-Bashir.

Sementara itu, normalisasi hubungan dengan Israel dilihat sebagai kemenangan dasar luar buat Presiden AS, Donald Trump yang pentadbirannya pada bulan Ogos memperoleh perjanjian serupa dengan Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kini, semuanya bergantung pada Kongres, kerana penggubal undang-undang perlu menyetujui penghapusan Sudan daripada senarai itu, yang sekali gus akan melindungi negara Afrika Utara itu daripada beberapa tuntutan undang-undang yang berkaitan dengan keganasan di AS.

Sudan juga perlu dikeluarkan daripada senarai SST untuk melakukan perniagaan dengan pelabur asing.  

Pada masa ini, para pelabur enggan melakukan perniagaan dengan Khartoum kerana bimbang mereka perlu membiayai pampasan berbilion dolar kepada mangsa-mangsa keganasan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button