Berita UtamaDunia

Vietnam rugi RM5.2 bilion akibat bencana alam

Hadapi saat getir berdepan ribut taufan, pandemik COVID-19

HANOI, 16 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Bencana alam yang melanda Vietnam dua bulan lepas bukan sahaja menyebabkan ekonomi negara itu merosot sebanyak 30 trilion dong (RM5.2 bilion), bahkan 192 orang maut dengan 57 yang lain masih hilang.

Wilayah tengah Vietnam mengalami tahun yang sukar dengan industri pelancongannya yang penting dilumpuhkan oleh pandemik coronavirus, sebelum kedatangan sembilan taufan yang memusnahkan tanaman dan merosakkan rumah ratusan ribu penduduk.

Data rasmi menunjukkan, jumlah kerugian pada dua bulan melebihi sepanjang tahun lalu – ketika bencana membunuh 132 orang dan menyebabkan kerosakan sebanyak 6.2 trilion dong (RM1.1 bilion).

“Kami menerima sembilan taufan dan dua tekanan tropika hanya dalam dua bulan, dari pertengahan September hingga pertengahan November.

“Kejadian cuaca tidak normal itu menelan belanja negara sebanyak 30 trilion dong,” kata Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Nguyen Xuan Cuong dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pihaknya akan memastikan penduduk tidak kehilangan tempat tinggal, menderita kelaparan atau kekurangan air selepas taufan.

Pertumbuhan ekonomi Vietnam dijangka perlahan kepada 2 peratus hingga 3 peratus tahun ini selepas berkembang 7.02 peratus pada tahun 2019 kerana kesan yang lebih luas dari pandemik coronavirus dan bencana alam.

Vietnam terdedah kepada ribut dan banjir yang merosakkan kerana garis pantai yang panjang.

Menurut laporan Bank Dunia pada Oktober lepas, kira-kira 11.8 juta penduduk di wilayah Vietnam terdedah kepada ancaman banjir besar, dengan 35 peratus kawasan penempatan terletak di pesisir pantai yang sesak dan terhakis. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button