Berita Utama

Wajar lanjutkan PKPB, tapi hanya di kawasan berisiko

Beri kelonggaran zon hijau untuk manfaat ekonomi

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 16 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri yang akan berakhir 6 Disember ini wajar dilanjutkan secara bersasar membabitkan kawasan berisiko.

Bagaimanapun, kerajaan disarankan untuk mempertimbangkan cadangan, dengan memberi kelonggaran kawalan pada zon-zon hijau.

Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Dr Rozanizam Zakaria berkata, tindakan itu dilihat wajar bagi mengimbangkan antara manfaat dan kesan kepada lain-lain aspek seperti ekonomi, perniagaan dan perkhidmatan.

“Namun apa yang lebih penting adalah untuk semua pihak patuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Elakkan ke tempat berisiko dan patuhi arahan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Pada masa sama, beliau juga menyarankan supaya universiti dibuka semula dengan pelaksanaan SOP yang ketat demi kelangsungan pengajian mahasiswa.

“Terutama yang memerlukan pengajian bersemuka seperti mahasiswa perubatan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah sejak 8 November lalu sehingga 6 Disember ini.

PKPB turut dilaksanakan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Terengganu selama empat minggu.

Bagaimanapun, PKPB di Johor, Melaka, Kedah dan Terengganu ditamatkan 21 November lalu, lebih awal berbanding 6 Disember seperti diumumkan sebelum ini.

Hari pertama Disember terus mencatatkan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia apabila 1,472 kes direkodkan setakat jam 12 tengah semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan kumulatif kes positif sebanyak 67,169 dengan kebolehjangkitan adalah 10,495 kes.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button