Pendapat

Wanita ibarat bunga, jagalah kesucian dan kemuliaan itu

Henti siarkan program realiti dengan nama Islamik

GADISKU, jaga harga diri, bila diajak keluar, fikir dua kali, jangan terus pergi

Bila membaca kenyataan polis dan report demi report dibuat oleh mangsa seks (dakwaan) akibat perbuatan selebriti agama, tertanya-tanya, kenapa begitu mudah seseorang wanita itu keluar dengan lelaki yang tidak dikenali, tanpa usul periksa.

Takkan baru kenal dalam media sosial, diajak keluar minum, terus keluar tanpa berfikir akan implikasinya? Tak adakah rasa malu.

Sekurang-kurang, kenallah sebulan dua, setahun dahulu, seperti orang zaman dahulu.

Ini tidak, kenal melalui sosial media, ajak keluar, terus meluru. Jangan begitu wahai anak gadisku. Kamu mulia sebenarnya.

Adakah kerana ada title dai, ustaz dan apa kaitan dengan agama, maka kita mudah cair, dah akhirnya, kuserahkan jiwa dan raga

Tak ada apa-apa istimewanya mereka yang bergelar orang agama, selebriti agama, kalau mereka tidak berakhlak mulia. Memalukan agama sahaja.

Kerana satu dua mereka yang ada title dai, PU, imam dan sebagainya, yang jadi ‘mangkok’ ini, habis rosak, mereka yang ada yang title sama, tetapi berilmu, yang baik-baik dan berakhlak mulia.

Sebab itu, jangan hanya kerana title dia, PU, imam dan sebagainya, kita pun begitu teruja, kemudian sanggup terima ajakannya, sampai ke rumah seterusnya ke bilik tidur.

Sebab itu, amat memalukan apabila ustaz yang ada title ini terjebak dalam perkara yang menjelekkan. Media pula suka mensensasikan. Rosak teruk imej agama Islam.

Saya ingin tegaskan, bukan semua mereka yang ada title agama, semuanya baik. Ada yang menjadikan agama sebagai tunggangan.

Ada dalam kalangan mereka yang lebih teruk daripada mereka yang sememangnya dah teruk.

Sebab itu, berhati-hatilah, wahai kaum hawa. Dirimu terlalu suci, untuk dirosakkan oleh kumbang durjana ini. Jagalah martabat diri dan maruah diri sebagai sebagai wanita.

Hari ini banyak anak lahir daripada hasil hubungan luar nikah dilahirkan. Kadangkala sukar juga untuk kita terima, seorang wanita dirogol, diperkosa oleh ramai lelaki. Bila disiasat, lelaki-lelaki yang dikenali itu hanya sekali, melalui sosial media. Bila diajak terus keluar. Tanpa berfikir panjang

Dibawa naik motosikal pula, ke tempat-tempat yang kita sedia maklum ‘membahayakan’ kepada dirinya, maka ketika itu bertindaklah. Kenapa terus ikut lelaki tersebut.

Sebagai maklumat tambahan, sedar atau tidak, setiap sekolah kini, dah jadi tren, kadangkala setiap kelas, ada sahaja anak yang dibin atau bintikan Abdullah. Bila ditanya, hasil anak luar nikah.

Di sekolah SJKC, ramai juga murid Melayu berbin atau binti Abdullah. Ada ibu bapa yang ada anak luar nikah di bin atau berbintikan Abdullah, rasa malu untuk hantar ke sekolah kebangsaan. Bagi mengelakkan malu, maka di hantar di SJKC.

Sebab itu, bila ada peningkatan murid di SJKC, ultra kiasu jangan terlalu teruja kerana sekolah ini baik, mendapat sambutan orang Melayu. Ada ibu bapa yang ada anak luar nikah, berbin dan binti Abdullah, takut malu hantar anak ke sana.

Semua ini sudah disampaikan dan diceritakan kepada saya oleh mereka yang terlibat

Untuk kekang perkara daripada tular, nak hentikan sepenuh tak boleh. Justeru, saya mohon supaya;

Pertama, pihak penyiaran tv, percuma atau berbayar, hentikanlah menamakan program realiti dengan nama-nama Islamik, seperti dai, pencetus ummah, imam dan lain-lain. Gunalah nama-nama lain. Tidak usahlah bawa title itu bersama apabila program dah tamat. Sebut nama individu terbabit sahaja. Janganlah heret agama Islam sekali. Islam itu terlalu suci untuk dikotorkan oleh tangan-tangan bernoda ini.

Kedua, rujuk JAKIM dan Jabatan Agama untuk mencari bakat-bakat ini. Libatkan institusi ini secara serius, bukan sekadar batuk di tangga. Saring mereka betul-betul yang terlibat dalam program realiti agama. Pastikan ada keikhlasan di situ.

Ketiga, pastikan mereka yang masuk program realiti agama dalam kalangan yang benar-benar berilmu dan berakhlak mulia, bukan untuk mencari glamour dan publisiti. Kadangkala, kita tengok latar belakang mereka tidak ada apapun, tetapi kerana dia menjadi ‘kegilaan’ maka dikekalkan. Semuanya kerana duit. Harapkan muka sahaja. Muka ‘hodoh’ kadangkala tidak terpilih walaupun bagus. Yang comel itulah yang dipilih walaupun ke laut.

Keempat, kepada yang menang program realiti agama ini, kamu ini ada tanggungjawab, ada amanah kepada agama yang sangat besar. Jagalah amanah itu. Jangan rosakkan agama itu kerana perbuatan diri sendiri.

Kelima, jika didapati benarlah, bersalah, selebriti agama itu, hukumlah mengikut cara undang-undang sebenar. Biar menjadi pengajaran kepada orang lain.

Akhirnya, kepada wanita di luar sana, kamu ibarat bunga, suci dan mulia, jagalah kesucian dan kemuliaan itu. Jagalah maruah kamu. Kumbang-kumbang durjana ini sentiasa mahu mengambil kesempatan.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button