Berita Utama

Jangan ambil mudah peningkatan kluster baharu, titah Sultan Johor

Sultan Ibrahim ingatkan rakyat untuk patuh SOP ditetap kerajaan

BANGI, 17 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan rakyat supaya tidak mengambil mudah dengan peningkatan kluster-kluster baharu COVID-19 di negeri itu.

Baginda bertitah, masyarakat perlu terus mematuhi amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, bagi membendung penularan wabak itu.

Justeru, pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan kerap membasuh tangan menggunakan cecair pembasmi kuman adalah langkah penting yang perlu sentiasa diamalkan dalam memutuskan rantaian COVID-19, titah Sultan Ibrahim.

“Pada masa sama, masyarakat dinasihatkan untuk mengelak daripada menganjurkan apa-apa majlis yang mengundang orang ramai berkumpul kerana ia berisiko tinggi.

“Jangan kita leka atau memandang ringan penularan wabak berkenaan,” titah baginda dalam kenyataan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Titah baginda, kegagalan mematuhi SOP akan menyebabkan berlakunya peningkatan kes, seterusnya memberi pelbagai implikasi negatif kepada masyarakat.

“Masyarakat juga perlu menjaga kesihatan ahli keluarga dengan mengamalkan SOP serta jangan mendedahkan kanak-kanak dan ibu bapa kepada bahaya jangkitan,” titah Sultan Ibrahim.

Menurut baginda, penularan wabak COVID-19 adalah ujian daripada Allah SWT terhadap hamba-hambanya di dunia.

“Setiap ujian yang melanda, pasti mempunyai hikmah yang tersendiri.

“Firman Allah SWT, ‘Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala’ bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan Allah amat mengetahui akan tiap-tiap sesuatu’ (At-Taghabun:11),” titah baginda.

Setakat semalam, Malaysia merekodkan 851 kes baharu dengan 102 kes di negeri Johor.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, 23 kes adalah daripada kluster baharu iaitu kluster Baloi membabitkan daerah Johor Bahru dan Pontian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button