Jutaan pelarian terjejas, HRW beri amaran risiko tutup kem di Iraq
Kehilangan tempat tinggal sebabkan pelarian menjadi lebih rentan

BAGHDAD, 17 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Human Rights Watch (HRW) memberi amaran mengenai rancangan Iraq untuk menutup kem pelarian dalam negara (IDP) akan menyebabkan lebih ramai yang kehilangan tempat tinggal.
Organisasi itu berkata, pihak berkuasa tidak boleh memaksa penduduk kem keluar tanpa memastikan inisiatif tempat tinggal baharu, makanan, air dan perkhidmatan asas lain terjamin.
HRW juga meminta supaya Iraq memberikan notis pemberitahuan sekurang-kurangnya 30 hari kepada penghuni kem, selain menyediakan kemudahan pengangkutan bagi mereka yang terjejas.
Bulan lalu, pihak berkuasa Iraq mengumumkan rancangan untuk menutup kem IDP di Kirkuk, Saladin dan Anbar.
Sementara, beberapa lagi kem lain juga akan ditutup bermula tahun depan yang menyebabkan kira-kira 1.5 juta orang bakal kehilangan tempat tinggal.
Penyelidik HRW, Belkis Wille berkata, pendekatan memaksa penduduk keluar daripada kem IDP – yang menjadi tempat berlindung dan meneruskan hidup – selama bertahun-tahun akan menjadikan mereka lebih rentan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekurang-kurangnya 5.5 juta rakyat Iraq dipaksa meninggalkan rumah mereka sewaktu konflik pertempuran dengan Daesh.- Agensi