Berita Utama

Keputusan muzakarah khas vaksin COVID-19 diketahui esok

Mesyuarat dihadiri mufti, ahli dilantik Majlis Raja-Raja, KKM

PUTRAJAYA, 17 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai penggunaan vaksin COVID-19 dalam kalangan umat Islam di Malaysia dijangka diketahui esok, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas ke-10 Tahun 2020, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia itu sedang bersidang di sini hari ini bagi membincangkan perihal penggunaan vaksin COVID-19.

Katanya mesyuarat itu dihadiri para mufti dan ahli-ahli yang dilantik Majlis Raja-Raja serta wakil Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita akan melihat semua segi termasuk dari KKM dan pandangan mufti dari sudut agama,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan surat lantikan kepada 52 pegawai penyelidik baharu Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Zulkifli berkata hasil mesyuarat itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.

Mengulas mengenai status halal ayam yang dicipta daripada sel haiwan dan dihasilkan dalam bioreaktor yang diluluskan penjualannya di Singapura, Zulkifli berkata perkara itu akan diteliti dan dibincangkan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia juga akan mendengar dan mendapatkan pandangan Pejabat Mufti di Singapura mengenai perkara itu, katanya.

Mengenai isu pendakwah selebriti yang lahir daripada rancangan realiti TV dan terpalit dengan kontroversi, Zulkifli berkata: “Mereka mestilah sentiasa jaga dan nasihat-menasihati. Kita sebagai pendakwah suka nasihat orang dan jarang orang nasihatkan kita, jadi untuk itu kita perlu sentiasa muhasabah diri dan memperbaiki diri dari semasa ke semasa,”. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button