Menang, kalah kes kebun haram tanah Pahang masih dalam bahaya
Keputusan mahkamah 9 Disember penentu pekebun dihalau atau tak

BANGI, 17 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 9 Disember ini bakal menentukan nasib pekebun haram durian Musang King, sama ada dihalau keluar atau pun sebaliknya.
Menjelang enam hari keputusan kes pencerobohan itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya menyifatkan menang atau kalah, tanah di serata negeri Pahang masih dalam bahaya.
Ini kerana dakwanya, isu pencerobohan tanah di Raub hanyalah sebahagian daripada banyak kes yang berlaku, tetapi dipandang sepi.
“Apa-apa pun, keputusan ini akan menentukan sama ada pekebun haram itu boleh terus menanam dan mengaut hasil durian Musang King itu atau tidak.
“Dengan kata lain, apakah mereka akan dihalau atau tidak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zainal Azman Ab Aziz menetapkan 9 Disember ini untuk pendengaran kes semakan kehakiman yang difailkan 111 pekebun durian Raub, bagi mengetepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap mereka.
Keputusan itu dibuat setelah mendengar hujah kedua-dua pihak plaintif yang diwakili peguam, Siew Choon Jern dan Brendan Siva serta responden-responden yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noor Fadzila Ishak dalam sebutan kes pada 28 Oktober lalu.
Kegiatan pencerobohan 4,400 hektar tanah di Raub itu menyebabkan kerajaan Pahang mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun melalui hasil cukai dari kebun haram termasuk kawasan hutan simpan.