Berita Utama

Pahang banteras pencerobohan tanah seluas 34 hektar di Bertam

Ceroboh babit 5.6 hektar rizab jalan, 6.3 hektar tanah kerajaan

CAMERON HIGHLANDS, 17 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Kerajaan negeri Pahang telah menjalankan operasi membanteras kegiatan penerokaan di 98 lot tanah haram di Lembah Bertam.

Dikenali sebagai Ops Bertam, ia dilaksanakan sejak dua hari lalu dan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya mendapat kerjasama baik daripada penceroboh yang rata-rata memahami kesalahan dilakukan iaitu meneroka tanah kerajaan secara haram.

Malah, katanya, ada di antara penceroboh yang membuka struktur binaan di kawasan tanah mereka secara sukarela.

“Keadaan itu amat berbeza dengan operasi di Sungai Ichat sebelum ini yang mendapat tentangan hebat daripada peneroka tanah haram berkenaan,” katanya seperti dipetik Harian Metro, hari ini.

Tanah yang diduduki secara haram sekitar Lembah Bertam meliputi kira kira 34.7 hektar membabitkan 5.6 hektar rizab jalan dan 17.4 hektar rizab sungai dan 6.3 hektar tanah kerajaan.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri ini sentiasa berusaha menangani isu penerokaan tanah haram bagi memastikan pencemaran air di pusat peranginan itu tidak berlaku lagi.

Katanya, tindakan sebelum ini berjaya memulihkan Sungai Ichat daripada tercemar teruk Kelas 4, dan kini pulih dengan kandungan air mentahnya berada pada Kelas 1.

Wan Rosdy berkata, pengalaman berdepan insiden pencemaran Sungai Ichat mendorong kerajaan negeri mengambil tindakan lebih tegas bagi melindungi alam sekitar tanah tinggi khususnya Sungai Bertam yang menjadi antara sumber air utama negeri ini.

“Sungai Bertam lebih kritikal untuk dipelihara kerana ia bukan hanya menjadi sumber air kepada penduduk di Cameron Higlands, namun ia adalah sungai paling hulu dan mengalir ke Sungai Jelai serta Sungai Pahang yang juga sumber bekalan air mentah utama kepada penduduk negeri ini.

“Selain membekalkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Habu di Cameron Higlands, Sungai Bertam adalah sumber air utama kepada 17 LRA di sepanjang Sungai Pahang bermula dari LRA Terla sehingga ke daerah Pekan yang membabitkan 122,049 pemilik akaun iaitu bersamaan hampir 0.6 juta penduduk Pahang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button