Palestin lanjutkan perintah darurat sebulan lagi
Mahmoud Abbas bimbang penularan wabak COVID-19, kes kini 90,192

RAMALLAH, 17 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Palestin melanjutkan perintah darurat untuk tempoh sebulan lagi bagi mengekang penularan COVID-19 di wilayahnya.
Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Rabu mengumumkan perkara itu berikutan kebimbangan penularan kes COVID-19 yang semakin meningkat.
Perintah darurat kali pertama dikuat kuasakan pada 5 Mac, selepas kes pertama coronavirus direkodkan di Tebing Barat.
Dalam ucapan sama yang disiarkan di televisyen, Mahmoud turut menggesa penduduk Palestin mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghentikan penularan wabak.
Katanya, beliau turut mengerah pihak berkuasa melakukan perkara sepatutnya bagi mengekang COVID-19.
Menurut Worldometer, Palestin setakat ini mencatatkan 90,192 kes COVID-19, dengan 763 kematian manakala 66,989 lagi dilaporkan pulih.- Agensi