Berita UtamaIstimewa

Tiada kompromi! Ambil tindakan tegas ahli politik sokong LTTE

Tak selamat jika individu gubal polisi negara dukung pengganas

BANGI, 17 Rabiulakhir 1442H, Khamis – Kerajaan diminta untuk bertindak tegas ke atas ahli politik yang secara terang-terangan menyokong gerakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Perkara itu penting sebagai bukti keseriusan kerajaan menentang serta menghapuskan kumpulan pengganas itu.

Timbalan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, tindakan sama juga perlu dikenakan kepada mana-mana parti atau pertubuhan yang menyokong ideologi perjuangan LTTE secara sembunyi atau terang-terangan.

“Adalah tidak selamat bagi negara jika ada individu yang terlibat dengan penggubalan polisi negara atau negeri mempunyai kecenderungan kuat untuk mendukung perjuangan satu kumpulan pengganas luar negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi berkata, pihaknya berharap supaya kerajaan konsisten untuk terus memburu serta melenyapkan kumpulan LTTE dari Malaysia.

Beliau berkata, amat jelas dan nyata bahawa kumpulan itu tidak sesuai tinggal di negara yang selama ini harmoni daripada sebarang keganasan dalaman.

“Tindakan mengugut untuk menembak mati Ketua Polis Negara dan meletupkan ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pertahanan oleh seseorang yang mendakwa dirinya sebagai Komander LTTE adalah bukti ketepatan keputusan kerajaan menyenaraikan LTTE sebagai kumpulan pengganas,” katanya.

Sebelum ini, semua kumpulan pengganas termasuk LTTE akan ditentang habis-habisan dan dihapuskan daripada terus wujud di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut menegaskan bagi tujuan itu, kerajaan akan menggunakan pelbagai peruntukan undang-undang yang ada seperti Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Kesalahan Khas (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mengulas mengenai laporan media bahawa seorang lelaki yang membuat ugutan akan menembak mati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dengan mendakwa dirinya sebagai ketua komander kumpulan pengganas LTTE 2.0, Hamzah berkata, tindakan sewajarnya akan diambil.

“Kenapa berani sangat nak ugut, negara kita ada undang-undang kalau (kumpulan pengganas) katakan mereka bebas lakukan segalanya. Kumpulan ini (LTTE) masih tersenarai sebagai kumpulan pengganas dalam negara kita.

“Kita akan tangkap dan hapuskan mereka daripada begitu sewenang-wenangnya melakukan apa mereka nak lakukan dalam negara kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button