Berita Utama

‘Dulu tak pernah benarkan kumpulan seperti The 1975 masuk Malaysia’

Dah tahu kumpulan ini akan hancurkan masa depan rakyat, jangan terima

BANGI, 6 Muharam 1445H, Isnin – Kerajaan Madani sepatutnya dari awal lagi tidak membenarkan kumpulan British The 1975 – yang melakukan aksi biadab dan jelik – masuk ke negara ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ketika beliau memegang jawatan Menteri Dalam Negeri sebelum ini, kerajaan tidak pernah menerima kemasukan kumpulan seumpama itu.

Beliau turut mempersoalkan mengapa The 1975 tidak ditangkap seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

“Saudara saya, Sanusi buat salah sikit jam 3 pagi (kena) tangkap. Kumpulan (The 1975) ini saya tidak tahu bila polis dah tangkap.

“Buat macam-macam kesalahan. Tak tangkap pun. Inilah kerajaan yang ada, kerajaan double standard.

“Sebab tu kita tidak mahu kerajaan ini wujud lagi,” katanya dalam ceramah PN di Tanjong Karang, semalam.

Kesal dengan situasi berlaku, Hamzah menegaskan perkara itu tidak boleh dipandang sambil lewa dan tidak sepatutnya berlaku di negara ini.

“Apabila dah masuk buat kelakuan bukan-bukan barulah nak beritahu konon ada macam-macam syarat.

“Syarat apa? Dah tahu kumpulan ini akan menghancurkan masa depan rakyat Malaysia, sepatutnya tidak terima (kemasukan) mereka ini,” katanya.

Persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 di Litar Antarabangsa Sepang pada malam Jumaat dihentikan selepas vokalisnya, Matty Healy menunjukkan aksi kurang sopan di hadapan peminat.

Matty yang terkenal dengan aksi biadab didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas, selain meludah, membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan melakukan aksi kurang sopan.

Susulan aksi dan kenyataan sangat biadab itu, Fahmi mengarahkan membatalkan serta-merta baki penganjuran yang dijadualkan sehingga semalam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button