Berita Utama

Ahmad Faizal tak akan bubar DUN

Rakyat hadapi COVID-19 lebih penting berbanding kedudukan

IPOH, 18 Rabiulakhir 1442H, Jumaat  – Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau tidak akan mengusulkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila beliau menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, bagi menyembah maklum kedudukan semasa kerajaan negeri Perak di bawah Perikatan Nasional (PN).

Katanya, beliau lebih mengutamakan kepentingan rakyat ketika negara sedang mendepani pandemik COVID-19 berbanding kedudukannya, selepas gagal mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam usul keyakinan terhadapnya selaku Menteri Besar Perak pada persidangan DUN pagi tadi.

“Bila saya menghadap Sultan, saya boleh menyembah agar Dewan (DUN)  dibubarkan, (namun) adakah itu yang kita mahu? Sama sekali tidak, (kerana)  keadaan (sekarang) tidak kondusif untuk pilihan raya. Jadi apa yang saya harus lakukan?

“Saya perlu akur dan beri sokongan kepada sesiapa sahaja yang Tuanku pilih sebagai menteri besar dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penyampaian Surat Kelulusan Projek Masjid dan Surau di negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Katanya, beliau berusaha melakukan yang terbaik semasa diberi amanah menjadi menteri besar “dan apabila tiba masa seperti sekarang, saya terima dengan baik.”

“Saya harap ramai dapat terima keadaan ini, ini  bukan tentang kita tapi tentang kita nak bagi perkhidmatan,” tambahnya lagi.

Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti dalam usul itu selepas hanya 10 ADUN menyokong, 48 tidak menyokong manakala satu lagi berkecuali setelah undian secara bertulis dijalankan terhadap usul tersebut yang dikemukakan Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Bharu).

DUN Perak merangkumi 25 ADUN Barisan Nasional (BN) yang kesemuanya daripada UMNO, 16 daripada DAP, Bersatu (5), Amanah (5), PKR (3), PAS (3), Gerakan dan Bebas masing-masing satu.

Timbalan Presiden Bersatu itu dilantik semula menjadi Menteri Besar Perak  menerusi kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk melalui mandat 32 ADUN pada 13 Mac lalu setelah Bersatu keluar daripada PH.

Ahmad Faizal sebelum itu menerajui kerajaan PH selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018. Kerajaan PH Perak tumbang pada 10 Mac lalu selepas Ahmad Faizal meletak jawatan.

Mengulas lanjut keputusan usul berkenaan, Pengerusi Bersatu Perak itu berkata, beliau menerima situasi tersebut sebagai asam garam politik selain bersyukur kerana mendapat sokongan 10 ADUN.

“Sebenarnya banyak lagi yang menyokong saya tetapi mereka masing-masing mengikut keputusan parti dan sebagainya. Mereka  berjumpa saya dan menyatakan mereka tidak gembira dengan apa yang berlaku tapi perkara dah berlalu.

“Saya mengambil keputusan untuk menceburi bidang politik, jadi saya perlu faham bahawa perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa juga, jika saya takut dilanda ombak saya tidak akan berumah di tepi pantai, jadi rumah saya baru dilanda ombak dan dah roboh,” katanya berseloroh. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button