Berita Utama

Daging diimport perlu pengesahan halal: Jakim

Pengimport perlu kemuka kelulusan permit import daripada MAQIS

BANGI, 18 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Malaysia menetapkan pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan daripada abatoir atau loji pemprosesan diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, daging dan produk daging yang diimport masuk perlu pengesahan halal daripada badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jakim. 

Selain itu, pengimport juga perlu mengemukakan bersama sijil kesihatan daripada pihak berkuasa veterinar negara pengeksport.

“Pengimport juga perlu mengemukakan kelulusan permit import daripada pihak MAQIS sebelum daging dan produk daging tersebut dibenarkan masuk kepasaran negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dan kemudiannya dibungkus semula dengan logo pengesahan halal serta menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Taktik tersebut terbongkar dalam satu serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah Gudang di Senai, Johor Bahru baru-baru ini.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, Jakim menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi yang melaksanakan operasi bersepadu perihal dagangan halal yang dipercayai digunakan sindiket penyeludupan masuk daging sejuk beku.

Antara yang terbabit dalam operasi adalah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya dan Johor, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Bahagian Pengurusan Halal Jakim serta Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

“Jakim komited untuk memberikan kerjasama kepada semua agensi penguatkuasa dan menyeru orang awam untuk terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan isu-isu penyalahgunaan logo halal,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Jakim akan melakukan pemantauan berterusan melalui kerjasama dengan badan dan kementerian terbabit serta kerajaan negeri masing-masing bagi memastikan isu kehalalan itu jelas.

Beliau turut memaklumkan, tiada laporan mengaitkan pembabitan pegawai Jakim berhubung isu penyeludupan daging sejuk beku yang menipu label halal, diterima setakat ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button