Artikel KhasBerita Utama

Jangan putus harapan! Majukan umat, negara ikut neraca Islam

Krisis ekonomi, ketegangan etnik, penularan wabak berlaku depan mata

JIKA ditanya kepada kami, apakah ISMA optimis bahawa masa depan umat Islam akan lebih baik di masa depan atau pesimis bahawa ianya makin buruk? Sudah tentulah jawapan kami, kami sentiasa optimis kerana nas dari al-Quran dan hadis menunjukkan bahawa Islam akan kembali naik dan dunia akan kembali aman di bawah sistem Islam.

Banyak nas di dalam al-Quran dan hadis yang menyebut tentang itu sama ada secara langsung atau tidak. Bagi yang berminat bolehlah merujuk kepada nas-nas tersebut. Saya tidak berniat untuk berkongsi tentang itu di sini. Muslim yang sentiasa melazimi al-Quran dan hadis sudah tentu banyak membaca mengenainya.

Bagi yang mempunyai keraguan terhadap al-Quran dan hadis, mereka mungkin akan tertanya-tanya bagaimanakah Islam boleh naik semula sedangkan petunjuk yang berlaku di depan mata tidak menunjukkan apa-apa isyarat ke arah itu?

Mereka kata sistem politik negara sudah hancur. Ahli politik negara kita sudah hilang kompas perjuangan dan mudah dibeli dengan sedikit habuan. Bagi kami, itu sekarang.

Ahli politik yang seumpama itu sudah tua. Tunggulah masanya, mereka akan hilang tenaga atau hilang nafas untuk mengejar ketamakan mereka. Ahli politik muda yang berperangai sama, sudah mula hilang populariti. Ahli politik yang baik masih ramai, cuma mungkin belum jumpa formula bagaimana nak muncul merebut pentas.

Dunia menyaksikan dalam asak mengasak politik, banyak natijah yang tidak terduga berlaku depan mata. Jatuh kerajaan PH dan naik ‘Abah Din’, melonjak sokongan terhadap ‘Bossku’ dan PAS dapat Adun pertamanya di Sabah adalah suatu yang tidak pernah diramalkan oleh mana-mana penganalisis politik.

Lambakan maklumat dalam media sosial, tidak lagi mampu menutup keburukan sebahagian ahli politik. Orang ramai boleh menilainya dengan mudah. Dan ternyata dalam banci-banci nakal tidak rasmi yang dilakukan oleh orang muda, keputusannya menunjukkan mereka sudah jemu dengan ahli politik yang tidak jujur. Yakinlah bahawa masa mereka sudah hampir ke hujungnya.

Mereka kata sistem ekonomi negara kita dikuasai oleh bukan Islam dan golongan kapitalis yang hanya mementingkan untung sahaja. Bagi kami, itu sekarang.

Kita kena ingat sejarah negara kita. Orang Melayu Islam dahulunya adalah bangsa peniaga yang berjaya menaikkan Sungai Batu, pelabuhan Melaka dan membangunkan lombong-lombong yang besar. Cina dulunya adalah pekerja kepada saudagar Melayu. Begitu juga dengan British. Tapi pemimpin kita tersilap langkah dan suasana jadi terbalik.

Kita baru merdeka tidak sampai 70 tahun. Sebanyak 40 peratus daripada hampir satu juta syarikat yang didaftarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dimiliki oleh usahawan Melayu dan Bumiputera. Jumlah ini masih kecil, tapi ada harapan untuk berkembang.

Darah berniaga ada dalam diri orang Melayu. Boleh disaksikan dengan mudah dari kelahiran usahawan yang mendapat peluang baik. Perlu perbetulkan beberapa langkah tertentu, dan ekonomi umat Islam akan melonjak naik. Percayalah.

Mereka kata golongan muda negara kita sudah hancur. Ada ustaz pun kena tangkap atas tuduhan rogol. Jadi macam mana nak diharapkan perubahan akan berlaku? Bagi kami, statistik perlu dilihat dengan adil dan menyeluruh.

Betul terdapat lebih 50,000 kes kelahiran anak tidak sah taraf setahun di negara kita. Dan begitulah jika kita meneliti angka penagih dadah dan banduan. Tetapi di masa yang sama negara juga menyaksikan kelahiran puluhan ribu huffaz. Bilangan pelajar cemerlang SPM dan di institusi pengajian tinggi juga semakin meningkat. Dalam program anak muda yang Isma anjurkan sendiri, kebiasaannya akan dihadiri ratusan anak muda dalam satu program di satu cawangan.

Bayangkan jumlah peserta jika didarab dengan 44 cawangan ISMA seluruh negara. Dan bayangkan jika satu cawangan menganjurkan purata lima program anak muda sepanjang tahun. Belum masuk program anak-anak sekolah rendah yang lebih kerap dianjurkan dan lebih berganda bilangan pesertanya dari program anak muda. Dan cuba kira pula berapa peserta program-program anjuran puluhan bahkan mungkin ratusan lagi badan dan pertubuhan lain seluruh Malaysia. Bukankah itu semua memberikan sinar harapan?

Di peringkat antarabangsa, mereka kata bagaimana negara boleh naik dan melepaskan diri dari cengkaman kuasa besar dunia? Nak lepas dari pengaruh Amerika dan China pun tak mampu, apatah lagi jika kita berbincang tentang projek Yahudi antarabangsa dan lain-lain. Golongan Islamis di negara Arab pun dijatuhkan dalam sekelip mata melalui Arab Spring. Pada kami, itu benar untuk keadaan sekarang. Akan datang belum tentu lagi.

Negara luar berminat untuk menguasai negara kita kerana negara kita ada sumber yang tidak mereka miliki. Itu adalah kelebihan. Cuma mungkin sekarang kita tidak sedar. British datang ke negara kita dan menganggap Perak sebagai negeri kaya. Mereka bagi plat pendaftaran kereta A kepada Perak kemudian baru B kepada Selangor dan C kepada Pahang. Ini kerana Perak kaya dan banyak kenderaan di Perak berbanding negeri lain.

Negara miskin sumber boleh menguasai negara kaya sumber kerana penduduk negara itu lalai dan terbuai. Penentangan rakyat terhadap TPPA, himpunan bantah ICERD, gerakan bantah Statut Rom dan sebagainya adalah bukti bahawa kelalaian penduduk negara ini terhadap campur tangan luar akan berakhir satu hari nanti.

Bahkan kita juga menyaksikan kejatuhan kuasa dunia sedikit demi sedikit setiap hari. Krisis ekonomi, ketegangan etnik, penularan wabak dan sebagainya berlaku di depan mata kita semua. Banyak kejadian ‘senjata makan tuan’ berlaku di negara luar. Israel yang mengembangkan media sebagai alat propagandanya, sekarang amat takut dengan media dan mengambil pendekatan lari dari media ketika melakukan apa juga operasi menghancurkan umat Islam di Gaza dan di tempat lain.

Britain yang dahulunya memberikan kewarganegaraan kepada penduduk negara yang mereka jajah untuk dijadikan pekerja akhirnya berhadapan dengan kebanjiran umat Islam menjadi pemilik tanah dan usahawan yang membawa identiti negara itu di dalam diri mereka.

Apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam adalah meningkatkan kesetiaan kepada Islam dan umat Islam, memperkukuhkan kesepakatan sesama muslimin, meletakkan Islam di atas segala agenda lain dan mengambil langkah-langkah praktikal untuk memajukan umat dan negara berasaskan neraca Islam yang sejati.

Jangan putus harapan kerana orang beriman sentiasa memandang hari depan dengan pandangan positif. Jika bukan di hayat kita, ia pasti akan berlaku juga di hayat generasi seterusnya. Bekerjalah untuk itu, moga-moga ada sesuatu dari kita yang akan dikenang oleh generasi akan datang.

Wallahu a’lam

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Timbalan Presiden ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button