Berita Utama

KWSP digesa benarkan pencarum keluar wang tanpa syarat

Rakyat sedang kesempitan dalam keadaan luar biasa pandemik

BANGI, 18 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digesa mempermudahkan pihak pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka tanpa sebarang syarat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya juga meminta kumpulan itu membenarkan pencarum mengeluarkan wang mereka secara one-off sebanyak RM10,000 maksimum.

“Di saat rakyat sedang kesempitan dalam mendepani keadaan luar biasa pandemik, amat wajar sekali kita mempermudahkan dan menyantuni keperluan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan UMNO termasuk Pergerakan Pemuda dan Puteri sejak dari awal lagi tegas dan konsisten memperjuangkan isu tuntutan pengeluaran Akaun 1 KWSP yang dibangkitkan rakyat.

Beliau berkata, pihaknya mendengar serta membaca keluhan dan suara hati rakyat yang kecewa dengan syarat-syarat dikenakan pihak KWSP berkenaan pengeluaran i-Sinar Akaun 1 KWSP.

“Ternyata nada pengurusan KWSP amat berbeza dengan harapan positif yang diberikan oleh YB Menteri Kewangan ketika sesi penggulungan peringkat dasar Belanjawan 2021 tempoh hari,” katanya.

Terdahulu, KWSP mengumumkan dua kategori pencarum yang boleh mengeluarkan simpanan Akaun 1 membabitkan lapan juta ahlinya yang layak memohon melalui skim i-Sinar.

Penerima daripada kategori satu melibatkan pencarum yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi ‘gig’, sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Selain itu, ahli KWSP yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020 juga merupakan pencarum yang terletak di bawah kategori satu.

Bagi kategori dua pula, mereka adalah daripada kalangan ahli KWSP yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button