Berita Utama

KWSP patut permudah B40, M40 keluarkan caruman seperti i-Lestari

Lebih baik jika dihapuskan kriteria ‘pengurangan gaji 30 peratus’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 18 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) disyorkan untuk membenarkan pengeluaran caruman Akaun 1 secara automatik buat golongan B40 dan M40 yang terjejas.

Pensyarah Kanan, Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff yang mencadangkan perkara itu berkata, KWSP semestinya mempunyai rekod ahli yang terjejas caruman mereka sejak beberapa bulan lalu.

“Saya yakin KWSP boleh melihat dalam sistem mereka, daripada lapan juta ahli itu, berapa ramai yang telah mengalami penurunan pencaruman semenjak bulan Mac tahun ini. 

“Jika misalnya dapat dilihat sejuta ahli terjejas pencaruman mereka, maka apa salahnya diberikan pengeluaran secara automatik atau dipermudahkan permohonan seperti i-Lestari,” katanya.

Terdahulu, KWSP mengumumkan dua kategori pencarum yang boleh mengeluarkan simpanan Akaun 1 membabitkan lapan juta ahlinya yang layak memohon melalui skim i-Sinar.

Penerima daripada kategori satu melibatkan pencarum yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi ‘gig’, sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Selain itu, ahli KWSP yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020 juga merupakan pencarum yang terletak di bawah kategori satu.

Bagi kategori dua pula, mereka adalah daripada kalangan ahli KWSP yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

Menilai kriteria itu, Dr Ahmed Razman ketika dihubungi Ismaweb.net berkata, KWSP perlu melihat juga kepada situasi pencarum yang gaji pokoknya tidak dikurangkan sebanyak 30 peratus, namun elaun dan sebagainya dipotong majikan.

Situasi unik sebegini kadang kala menyebabkan rakyat tidak mempunyai sebarang dokumen khusus untuk dipersembahkan kepada KWSP sekali gus merunsingkan rakyat untuk membuat permohonan. 

Beliau berkata, adalah lebih baik jika dihapuskan kriteria ‘pengurangan gaji 30 peratus’ itu supaya kurang juga permohonan situasi unik yang bakal diterima KWSP.

“Maka pencarum pun tidak perlu bersusah payah untuk hadir ke pejabat KWSP seperti yang dicadangkan Ketua Pegawainya, Alizakri Alias bagi membincangkan situasi unik untuk diberi pertimbangan oleh pegawai.

“Adalah lebih baik semua jenis permohonan dibuat secara dalam talian. Ditambah pula dengan situasi COVID-19 ketika ini, sudah pasti kita tidak mahu rakyat bersesak ke pejabat KWSP berdekatan lokasi masing-masing hanya untuk berjumpa pegawai bagi membincangkan permohonan mereka.

“KWSP boleh menghubungi majikan untuk mengesahkan dokumen ataupun boleh menghubungi pencarum untuk menyelesaikan isu yang masih tidak jelas. Ini yang dilakukan oleh pegawai bank ketika berurusan dengan isu moratorium,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button