Berita Utama

Kenapa sekarang PAS ‘membisu’ kes Adib?

Dulu lantang desak Peguam Negara letak jawatan, kini sunyi sepi

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 25 Safar 1443H, Sabtu – Sikap membisu PAS dalam mempertahankan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim sangat dikesali, lebih-lebih lagi selepas berada dalam kerajaan.  

Walhal, sebelum ini ketika menjadi pembangkang, ramai tokoh PAS yang lantang menyuarakan gesaan menuntut keadilan terhadap Allahyarham Adib dan keluarga. 

Malangnya, ketika ini tidak kedengaran laungan pemimpin kerajaan mempertahankan kes Adib – makin sepi selepas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin memaklumkan kes Adib ditutup sementara.

Pemerhati politik, Ustaz Haji Omar Kassim berkata, dahulu PAS melalui Ahli Jawatankuasanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz pernah membuat kenyataan pada November 2019 – mendesak Peguam Negara ketika itu Tan Sri Tommy Thomas meletak jawatan segera kerana masih gagal melakukan pendakwaan ke atas suspek pembunuhan Allahyarham Adib.

“Mengapa kini sepi dan dilihat menteri dalam kerajaan pula membuat kata putus menutup siasatan kes. Ini amat menghairankan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Tidak lagi berharap dengan pemimpin parti itu, Ustaz Omar menegaskan, keadilan untuk Allahyarham Muhammad Adib dan keluarganya perlu segera ditegakkan.

Justeru, beliau menggesa orang ramai menyokong kempen Jangan Kuburkan Kes Adib yang digerakkan oleh Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

“Kempen ini wajar disokong semua pihak. Malu menjadi rakyat Malaysia yang mengaku ingin keadilan ditegakkan tetapi membisu dalam kes kematian Adib.

“Kematian beliau bukan kematian biasa, malah merupakan kematian ketika menjalankan tugas sebagai penjawat awam. Kita tidak akan lupa perkara ini,” katanya.

Sebelum ini, Zuraida berkata, kes kematian Muhammad Adib ditutup sementara akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Katanya, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Walhal, sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan 18 individu telah dituduh dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan perbicaraan dilaporkan tamat pada 23 September.

Dua tertuduh telah dituduh dibawah Seksyen 427 iaitu khianat dan dikenakan denda RM7,000 setiap seorang.

Namun, rata-rata rakyat tidak berpuas hati kerana hasil siasatan tidak didedahkan kepada umum.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button